KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju semalam menasihatkan Ketua Pertubuhan Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos jangan menunjukkan sifat jaguh yang keterlaluan.
Ali berkata, Jamal seharusnya tidak melanggar sebarang arahan daripada pihak berkuasa.
“Sebagai seorang rakan, saya sudah menulis di dalam Facebook kalau dia (Jamal) ada otak, ikutlah arahan Ketua Polis Negara (KPN) (Tan Sri Khalid Abu bakar).
“Dia (Jamal) jangan anggap dapat duit daripada politik dia nak tunjuk jaguh di Malaysia ini. Saya harap Jamal jangan keterlaluan, patuh arahan KPN, saya rasa benda ini akan selesai.
“Kita minta (cadangkan) kepada pihak berkuasa supaya pada 19hb ini diwartakan zon larangan baju kuning dan baju merah. Kita tidak mahu melihat pertembungan yang berdarah, bila dah beramai-ramai berasak-asak macam kita lihat apa yang berlaku di Ampang tak tahu siapa yang pukul. Nanti kita tuduh wartawan pula yang pukul lagi masalah,”katanya.
Katanya, pihak yang bertelagah tidak perlu menggunakan jalan kekerasan untuk mencapai hasrat mereka.
“Jadi lebih baik kita jangan gunakan kekerasan. Jangan berhimpun. kalau tidak puas hati, tunggu PRU14 kita gunakan otak dan kita punya tangan untuk pangkah yang mana A atau B. Itu sahaja,”katanya yang sebelum ini menyifatkan Jamal dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin sebagai berfikiran tidak waras.
Terdahulu, beliau membuat laporan polis berhubung gesaan meminta pihak berkuasa menghalang Bersih 5.0 dan Gerakan Merah v2 daripada berhimpun di jalanan.
Ali turut melahirkan rasa kebimbangannya berhubung perhimpunan yang bakal berlangsung sabtu ini, supaya tidak berlaku vandalisme sekali gus menyebabkan peniagaan di sekitar ibu kota terjejas.
Sebelum ini, Ali pernah bergerak bersama-sama Jamal dalam gerakan merah.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW