TOKYO – Malaysia menawarkan khidmat sebagai penasihat industri halal kepada Jepun yang semakin mempunyai potensi besar kepada produk tersebut.
Datuk Seri Najib Razak berkata, permintaan terhadap makanan atau produk halal dijangka meningkat menjelang temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
“Sukan Olimpik 2020 sudah tentu ramai pengunjung dan atlet dari negara Islam yang hendak makanan dan produk halal,” kata perdana menteri kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja beliau ke Jepun.
Bandaraya Tokyo akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas pada Ogos 2020. Kali terakhir Tokyo menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas ialah 1964.
Menurut Najib, beliau sudah memaklumkan tawaran itu kepada rakan sejawatannya Shinzo Abe semasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin Jepun di pejabatnya.
Katanya, beliau juga memberitahu Abe yang pelancong, termasuk dari Malaysia semakin berminat berkunjung ke Jepun, sekali gus mewujudkan permintaan tinggi kepada produk halal.
Najib berkata, piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai kredibiliti tinggi dan diterima Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Jika Malaysia dilantik sebagai penasihat industri halal Jepun, sudah pasti (produk halal) di sini mudah diterima mana-mana pihak,” katanya.
Semasa kunjungan ke Jepun Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis Halal Malaysia, turut mempromosikan piawaian halal Jakim kepada rakan sejawatannya Taro Aso yang juga menteri kewangan Jepun.
Ketika ini, sebanyak 54 badan persijilan dari 32 negara dan 4 pihak berkuasa dari Kesatuan Negara Islam mendapat pengiktirafan halal daripada Jakim.-Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW