BEIJING – Seorang pesawah dari wilayah Jiangxi berjaya mencipta sebuah katil luar biasa yang dapat membantu mengeluarkan batu karang pada buah pinggang isterinya tanpa sebarang pembedahan.
Oddity Central melaporkan, Zhu Qinghua, 52, mula memikirkan cara membantu isterinya sejak 1993 apabila wanita itu yang telah menjalani pembedahan membuang buah pinggang kirinya mengalami masalah batu karang di buah pinggang kanan.
Menurut doktor yang merawatnya, pembedahan itu terlalu berisiko bagi seseorang yang mempunyai satu buah pinggang dan menasihatkan mereka mencari alternatif sebelum batu karang tersebut menjadi besar.
Qinghua berkata, inspirasi mencipta katil istimewa itu terhasil pada 1997 apabila doktor menasihatkan isterinya ‘berdiri terbalik’ selama beberapa minit setiap hari bagi membantu menyingkirkan batu karang dengan mudah.
Lelaki tersebut mengambil masa sebulan mereka pelan dan mengeluarkan kos 1,000 yuan (RM640) untuk menyiapkan katil tersebut yang banyak menggunakan barang-barang terpakai di sekitar rumahnya.
Katil yang direka khas itu mampu berputar 360 darjah dalam keadaan terbalik selain mampu memberi rangsangan getaran daripada roda traktor sekali gus membantu mengeluarkan batu karang secara semula jadi.
Menurut Qinghua, selepas menghabiskan masa selama 10 minit duduk di atas katil itu dalam tempoh lima hari berturut-turut, batu karang di buah pinggang isterinya terkeluar dengan sendirinya tanpa sebarang rasa sakit.
Ia menyebabkan penduduk kampung mahu membeli katil tersebut permintaan tersebut terpaksa ditolak Qinghua kerana tidak mempunyai lesen menjual peralatan perubatan.
Bagaimanapun, Qinghua membenarkan pesakit batu karang menggunakan katil tersebut secara percuma.
Tahun lalu, ciptaan inovatif itu juga berjaya menyembuhkan tiga penduduk kampung yang menghidap masalah sama.
Pesawah itu juga dilaporkan berjaya mendapatkan paten untuk katil berkenaan.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW