KUALA LUMPUR – “Tahniah kepada Tun Mahathir sebab dia berjaya menjadikan Bersih sebagai kuda tunggangan untuk platform dia iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Pemimpin pembangkang semua kena dipermainkan secara total oleh Tun M dan saya nampak mungkin seni politik dia lebih canggih daripada pemimpin pembangkang yang tidak sedar.
“Dan juga semua peserta Bersih yang selama ini menyerang Mahathir tetapi semalam telah dimain hidup-hidup oleh Tun Mahathir, so, well done Tun Mahathir,” kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau diminta mengulas kehadiran bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi PPB) itu Bersih 5.0 semalam yang dianggap ramai sebagai berjaya menarik fokus rakyat ke arah beliau.
Mengulas lanjut, Khairy secara sinis mengucapkan tahniah kepada bekas pemimpin itu yang menjadikan Bersih sebagai kuda tunggangan kepada platform beliau (PPBM).
Khairy turut ditanya tentang amaran bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rakyat menunggu masa akan bertindak kerana kebajikan gagal dibela BN.
“Isu itu langsung tak wujud, bagaimana dia boleh katakan BN tak perjuangkan rakyat sedangkan BN sentiasa membincangkan masalah rakyat termasuk konvensyen hari ini melibatkan idea solusi pemuda BN mengenai penyelesaian masalah rakyat.
“Bukan seperti semalam (Bersih) tak bincang isu rakyat tapi membenci BN, tak sentuh isu dan soal rakyat pun,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Anak Muda Bandar 2016 anjuran Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan
Sementara itu, dalam ucapannya, Khairy berkata, himpunan Bersih yang dianjurkan kononnya atas nama rakyat sebenarnya mahu menjatuhkan pemimpin negara dan menggulingkan kerajaan sedia ada tanpa sebarang matlamat bersifat membina.
Katanya, beliau tidak mendengar sebarang idea atau masalah rakyat dibangkitkan dalam himpunan itu, sebaliknya semata-mata hanya mahu merampas kuasa sahaja.
Katanya, beliau bangga dengan program Konvensyen Anak Muda Bandar 2016 anjuran Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang menyaksikan lebih 1,000 penyertaan pemuda komponen Barisan Nasional (BN) dengan idea, solusi masalah rakyat aspek ekonomi, kebajikan perumahan, peluang pekerjaan dan pengangkutan awam.
“Berbeza dengan semalam kononnya himpunan rakyat, tapi setiap orang di sana tak tahu apa matlamat sebenar, tak sedikit pun sentuh isu rakyat. itu perbezaan antara pentingkan diri sendiri dan pentingkan rakyat.
“Turun berpuluh ribu atas jalan apa hasilnya, kami 1,000 sahaja di sini meluangkan masa cuti hujung minggu untuk bincang masalah rakyat.
“Tak perlu cakap perjuangan rakyat dibawa di atas jalan raya atau tak payah pakai baju kuning dan merah dan tunjukkan kehebatan…tunjukkan perjuangan ikhlas dari hati kepada rakyat menerusi idea penyelesaian masalah rakyat, itu mencukupi,” katanya.
Konvensyen itu disempurnakan oleh Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Cheras di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengecam himpunan itu yang dikatakan menerima dana politik dari pihak luar untuk menjatuhkan pemimpin.
“Kualiti perubahan yang kita nak bawakan ialah jauh lebih tinggi daripada semalam (Bersih 5.0),” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW