DENGKIL – Dua buah rumah di Taman Jenderam Permai, dekat sini, dipecah masuk ketika penghuninya keluar bekerja.
Salah sebuah rumah yang dipecah masuk adalah milik seorang jurutera sebuah syarikat rawatan air di Puchong, Muhammad Shafie Dahlan.
Mangsa hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 3 petang semalam.
“Waktu itu, saya masih bertugas di pejabat sebelum menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dari penduduk memaklumkan kejadian.
“Lalu saya terus bergegas pulang ke rumah dan dapati pintu masuk terdapat kesan umpil,” katanya.
Katanya, dia terus menuju ke bilik utama dan melihat pakaian telah digeledah dan dalam keadaan berselerak.
Setelah diperiksa, beberapa barang kemas dan dua buah komputer riba dianggar bernilai RM10,000 telah hilang.
Mangsa berusia 27 tahun dikatakan baru berpindah ke kawasan itu sejak Jun lalu.
“Saya yakin penjenayah ini telah merancang dengan teliti sebelum memecah masuk dan menunggu ketika penghuni tiada di rumah,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa, Nik Ahmad Sharbini Hassan, 36, merupakan pekerja swasta turut menjadi mangsa apabila barang kemas dan sebuah kereta jenis Honda Civic miliknya dilarikan.
Susulan itu, kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Dengkil untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abd Aziz Ali mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW