SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menafikan pihaknya ada mengeluarkan senarai harga minyak masak dalam botol seperti yang viral di media sosial.
Ketua Komunikasi Korporat KPDNKK, Akhtar Sahari berkata, pihaknya tidak boleh menentukan sama ada senarai harga berkenaan betul atau sebaliknya, kerana harga jualan minyak masak tersebut adalah bergantung kepada harga pasaran.
Jelasnya, berikutan penstrukturan semula subsidi minyak masak yang mula berkuat kuasa semalam, kerajaan hanya mengekalkan subsidi bagi minyak masak paket plastik satu kilogram dengan harga RM2.50 setiap paket.
Akhtar berkata, pengeluar minyak boleh menentukan harga jualan jenama masing-masing, dengan mengambil kira pelbagai kos dalam mengeluarkan minyak siap diproses, susulan harga minyak sawit mentah (olien) telah meningkat daripada RM2,500 kepada RM2,900 setiap tan metrik.
“Bergantung kepada pengeluar untuk menentukan harga jualan minyak jenama masing-masing, di situ wujudnya persaingan pasaran yang sihat,” katanya.
Sehubungan itu, Akhtar berkata, pengguna perlu bijak memilih jenama minyak yang terdapat dalam pasaran.
Sementara itu katanya, penguat kuasa KPDNKK akan membuat pemantauan supaya tidak berlaku tindakan peruncit menyorokkan minyak masak.
“Kami sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi untuk kegunaan pengguna,” katanya.
KPDNKK dalam kenyataan di laman Facebooknya semalam turut menjelaskan, harga jualan minyak masak bukan bersubsidi tidak ditetapkan oleh KPDNKK.
Menurutnya, harga minyak tersebut ditetapkan oleh pihak industri mengikut harga pasaran minyak sawit.
Walau bagaimanapun, pihak industri masih tertakhluk pada Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
“Ini bermakna jika terdapat kenaikan harga yang tidak munasabah berlaku, maka tindakan boleh diambil ke atas industri kerana mengambil keuntungan berlebihan.”katanya.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW