KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya akur dengan hasrat Tan Sri Annuar Musa untuk melepaskan jawatan sebagai presiden persatuan itu.
Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat khas exco Kafa di pejabat Annuar di Bangunan Mara di sini, Jumaat.
Walau bagaimanapun Annuar berjanji akan membantu pasukan Kelantan yang berhadapan masalah kewangan menyertai saingan Liga Malaysia musim depan.
“Masalah kewangan yang dihadapi pasukan Kelantan adalah real. Namun bukan niat saya dan exco untuk menyebabkan Kelantan tidak boleh bertanding musim depan.
“Oleh itu walaupun tidak lagi memegang jawatan, saya akan bantu menyalurkan geran berjumlah RM3 juta kepada Kafa melalui syarikat saya supaya pasukan Kelantan terus bersaing,” katanya.
Selain itu, Annuar turut berjanji untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain yang menyelubungi skuad Kelantan sejak musim lalu.
“Sebagai bukti komitmen saya kepada pasukan Kelantan, minggu depan saya akan berikan RM500,000 kepada Kafa untuk selesaikan masalah gaji tertunggak.
“Wang itu hanya boleh digunakan untuk membayar gaji pemain,” katanya. – mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW