NEW YORK – Para pemimpin dunia melahirkan harapan untuk terus mengekalkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) meskipun sedar bakal berdepan dengan polisi baharu di bawah pentadbiran Donald Trump yang meraih kemenangan pada pilihan raya Presiden semalam.
Di Moscow, Presiden Rusia, Vladimir Putin menghantar ucapan tahniah melalui aplikasi mesej Telegram kepada Donald Trump dan berharap Moscow dapat meningkatkan hubungan dengan Washington.
Rusia sebelum ini menyokong Trump berbanding Clinton dalam pilihan raya itu yang dikatakan tidak mahu lagi menjadikan Kremlin sebagai ‘musuh’.
Sementara itu di Berlin, Jerman, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg berkata, kepimpinan AS terus diperlukan dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan baharu ketika mengucapkan tahniah kepada Trump semalam.
“Kita menghadapi persekitaran keselamatan baharu termasuk perang hidbrid, serangan siber dan ancaman keganasan. Kepimpinan AS seperti sebelum ini adalah penting,” kata Stoltenberg.
Tidak senada dengan NATO, Presiden Parlimen Kesatuan Eropah, Martin Schulz di Stockholm, Sweden berkata, hubungan antara EU dengan AS dijangka lebih sukar apabila Trump menjadi Presiden negara kuasa besar itu.
Di Seoul, sekutu rapat AS, Korea Selatan berharap penempatan sistem pertahanan antipeluru berpandu THAAD akan terus dilaksanakan mengikut jadual di bawah pentadbiran Trump. Sistem tersebut bertujuan mematahkan ancaman misil Korea Utara.
“Penempatan THAAD akan diteruskan,” kata Menteri Pertahanan, Han Min-koo yang melahirkan kebimbangan terhadap dasar luar Trump yang enggan campur tangan dalam menghadapi ancaman Pyongyang.
Di Beijing, Presiden China, Xi Jinping menyatakan bahawa negara itu akan bekerja bersama Presiden baharu AS itu bagi membangunkan hubungan dua hala yang lebih kukuh.
Di Manila, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte turut tidak ketinggalan untuk mengucapkan tahniah kepada Trump meskipun sebelum ini hubungan dengan negara AS renggang selepas mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Presiden Barack Obama selain enggan lagi menerima bantuan tentera AS.
Sementara itu, di Baitulmuqaddis, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa mengucapkan tahniah menyifatkan Trump sebagai ‘kawan sejati kepada negara Isreal’.
“Presiden baharu yang terpilih, Trump merupakan kawan sejati kepada Israel dan saya gembira untuk bekerjasama dengan beliau dalam mempertingkatkan keselamatan, kestabilan dan keamanan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan. – Agensi
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW