PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Malaysia Bersatu (PPBM) hari ini bersetuju melantik bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Presiden.
Struktur kepimpinan PPBM selepas pendaftarannya diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebelum ini menyaksikan Mukhriz memegang jawatan Naib Presiden sementara kedudukan Timbalan Presiden tanpa disandang sesiapa.
Terdahulu, dalam kenyataan kepada media pada 30 September lalu, Khairuddin Abu Hassan yang merupakan orang kuat kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membiarkan jawatan Timbalan Presiden kosong walaupun parti itu sudah 3 minggu diluluskan pendaftarannya.
Khairuddin mendakwa ramai penyokong mengharapkan Mukhriz akan dilantik ke jawatan tersebut sebagai cara menarik sokongan golongan belia kepada parti itu.
“Majoriti rakyat yang buat permohonan untuk jadi ahli parti Bersatu khususnya generasi muda masih menunggu kepimpinan protem menamakan Muhkriz sebagai timbalan presiden secara rasmi, barulah ramai lagi ‘gen Y’ akan menganggotai parti Bersatu,” kata Khairuddin.
Minggu lalu Khairuddin mengumumkan tindakannya keluar dari PPBM dengan alasan mahu memberi perhatian pada kes mahkamah yang dihadapinya.
Bagaimanapun pemerhati politik melihat tindakan keluar parti itu sebagai protes terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden PPBM yang sebelum ini dilaporkan lebih mengutamakan orang sendiri berbanding orang Mahathir.
Sementara itu, mesyuarat MPT PPBM hari ini juga melantik bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman dan peguam, Datuk Abdul Rashid Asarin sebagai Naib Presiden.
Anina Saadudin dilantik menyandang jawatan Ketua Srikandi manakala Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Armada.
Selain itu, bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Datuk Abdul Kadir Jasin pula menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi. – SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW