KUALA LUMPUR – Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bermain dalam Liga Perdana musim depan selepas masing-masing tewas dalam perlawanan terakhir Liga Super 2016 malam tadi manakala Pulau Pinang dan Sarawak diselamatkan oleh jaringan pada penghujung perlawanan.
Pulau Pinang, yang berada di tempat kedua terakhir sebelum perlawanan malam ini, memintas ke kedudukan ke-10 untuk terselamat daripada tersingkir ke divisyen dua tahun depan apabila menewaskan pasukan tercorot Terengganu 1-0 di Stadium Bandaraya menerusi jaringan Mohd. Faizat Ghazli pada minit ke-88.
Sarawak, yang sebelum ini turut berada dalam kalangan empat pasukan di zon penyingkiran, turut selamat apabila menundukkan PDRM 2-1 di Stadium Negeri. Gol Sarawak diperoleh menerusi Gilmar da Silva pada masa kecederaan babak pertama dan Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-86.
Jaringan tunggal PDRM dihasilkan oleh Guilherme de Paula pada minit ke-26.
Kelantan pula seri 2-2 dengan Perak yang bermain dengan 10 orang di Stadium Sultan Muhammad IV, manakala Terengganu FC II (TFCII) terikat 1-1 bersama Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Sementara itu, hasrat Selangor untuk meraih motivasi awal menjelang final Piala Malaysia hujung bulan ini tidak kesampaian selepas tewas di Stadium Shah Alam kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), yang sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super menerusi perlawanan ke-20, awal September lalu.
Harimau Selatan terus mengaum dengan rekod tanpa kalah musim ini menerusi jaringan penyerang dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz dan Amri Yahyah, masing-masing pada minit ke-65 serta 77, manakala gol tunggal Red Giants disumbangkan oleh Hazwan Bakri pada minit ke-71.
Sementara itu, Melaka United yang sudah pun bergelar juara Liga Perdana musim ini sekadar melengkapkan jadual terakhir saingan divisyen kedua itu dengan mengikat pasukan tercorot Sime Darby FC 1-1 di Stadium Hang Jebat. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW