BAHAU – Adik kepada pesakit yang terkorban dalam kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru semalam, terkejut apabila mengetahui kematian kakaknya menerusi aplikasi WhatsApp.
C Logeswari, 22, yang tinggal serumah dengan C Neeramaladevi, 24, di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru, berkata pesanan diterima kira-kira jam 9 pagi.
“Saya bergegas ke hospital, namun tidak dibenarkan masuk dan diminta menunggu di tempat khas untuk waris mangsa.
“Kira-kira jam 1.30 tengah hari saya dimaklumkan oleh pihak hospital mengenai kematian kakak secara rasmi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ladang St Helier sini, hari ini.
Logeswari yang bekerja di sebuah kedai kek di Johor Bahru berkata, kakaknya menjadi operator pengeluaran kilang di Singapura sejak lapan bulan lalu dan mengalami sawan pada petang Isnin lalu.
“Dia dimasukkan ke HSA kira-kira jam 3.30 petang oleh jiran yang menemuinya pengsan di beranda rumah sewa.
“Kakak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira jam 1 pagi semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan,” katanya.
Anak kelima daripada enam beradik itu tidak menyangka kakaknya yang sebelum ini kelihatan sihat, meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati.
Katanya, mayat kakaknya dibawa pulang ke rumah di sini, kira-kira jam 2.30 pagi tadi manakala upacara keagamaan akan dijalankan kira-kira jam 1 tengah hari ini. – BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW