Sejak tinggal di Pulau Kapas, Marang, Terengganu, ‘mat saleh’ yang di kenali sebagai Mat Dan yang berasal daripada negara Eropah ini mahu menetap di Malaysia.
Mengakui mempunyai ramai teman di pulau tersebut, dia turut menceritakan tanpa individu-individu tersebut, dia tidak mengenali negara yang begitu indah seperti Malaysia.
“Individu ini penting dalam hidup saya (teman dari Pulau Kapas). Mereka ini yang banyak membantu dan berjasa dalam hidup saya.
“Bagi orang yang suka suasana tenang dan berhasrat untuk berehat menenangkan minda, Pulau Kapas merupakan lokasi terbaik. Pantainya menarik dan orang di pulau ini begitu baik dan mesra sekali,”katanya, memetik Kosmo.
Ditanya mengenai makanan kegemarannya di sini, Mat Dan mengakui sangat gemarkan nasi kerabu dan nasi dagang.
Dia juga mengakui gemar mengunjungi tempat orang dan itu merupakan perancangan awal saya selepas menamatkan pengajian peringkat A Level di UK dahulu.
“Tidak sangka, selepas mengunjungi Pulau Kapas, ia telah membuatkan saya tertarik untuk menetap di sini. Saya pernah bekerja di butik semasa di Bristol, UK dahulu bagi mengumpul duit untuk mengembara.
“Ketika berada di Malaysia, kehidupan saya banyak dibantu oleh bapa yang mengirimkan wang untuk perbelanjaan harian. Selepas mendapat permit kerja, saya rasa bersemangat kerana terlibat dalam program sendiri iaitu Mat Dan Kaki Jalan yang kini sedang dalam pembikinan.
“Saya perlu tekankan bahawa duit bukan segala-galanya tetapi untuk mendapatkan apa yang kita hajati ia memerlukan duit. Saya cuma ingin kehidupan yang tenang. Saya tidak kisah hidup secara sederhana asalkan hati senang,”katanya.
Tambahnya, dia juga mempunyai hobi yang sama seperti orang lain, iaitu suka keluar membeli-belah.
“Walaupun tidak membeli apa-apa, namun ia juga memberikan terapi pada diri,”ujarnya.
Dia turut berpandangan walaupun dirinya dibesarkan di UK namun dia tidak tahan dengan cuaca sejuk.
“Saya lebih sukakan cuaca yang panas dan berhujan di negara ini,”katanya yang juga sukakan aktiviti tidur jika tidak berbuat apa-apa.
Katanya, tidur boleh membuatkan dirinya lupa dengan segala apa yang berlaku di sekeliling.
“Waktu tidur juga menjadi tempoh untuk badan berehat dan paling seronok kalau dapat tidur yang nyenyak,”akhirinya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW