KUALA LUMPUR – Penaja utama Kelantan, Vida Beauty akhirnya menyuarakan hasrat tidak lagi menaja pasukan Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan walaupun kontrak mereka masih berbaki setahun.
Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dalam Facebook rasminya, semalam.
“Penaja utama Pamoga Qu Puteh telah memaklumkan hasrat untuk tidak menaja pasukan Kelantan musim depan (2017)..walaupun mengikut perjanjian tajaan mereka adalah sehingga 2017.
“Saya memahami hasrat mereka dan akan bawa isu ini ke Majlis Kafa.’
“Kita akan mencari jalan keluar terbaik dengan mengambil kira semua faktor serta menjaga hubungan baik jangka panjang dengan semua pihak.
“Walaupun ini akan menambah kesulitan Kafa, namun seperti biasa setiap musim pengurusan negeri sentiasa diuji pelbagai kepayahan yang biasanya tidak difahami pihak luar,” kata Annuar.
Pada 24 April lalu, Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman yang lebih mesra dengan panggilan Vida meluahkan kekecewaan terhadap prestasi Kelantan yang tidak menentu dan mengancam akan menarik balik penajaan berjumlah RM16 juta bagi dua musim.
Pengasas Vida Beauty itu turut mengakui, ancaman untuk menarik penajaan bukan omong kosong, sebaliknya beliau bersedia mengambil langkah drastik andai isu prestasi gagal ditangani Kafa.
Penarikan penajaan oleh Vida pasti memberi tamparan kepada Kafa, yang dikatakan sedang berdepan masalah kewangan dan kembali dihantui isu tunggakan gaji pemain.
Seorang pemain yang enggan mendedahkan identitinya berkata, Kafa sudah dua bulan gagal membayar gaji pemain.
“Sudah masuk dua bulan saya tidak dapat gaji dan semua wang simpanan sebelum ini terpaksa digunakan untuk menyelesaikan bayaran pinjaman kereta, rumah serta perbelanjaan harian keluarga,” kata pemain itu, petik Utusan.
Katanya, dia lebih terkilan apabila mendapat tahu Kafa hanya membayar gaji 15 pemain, manakala yang lain dibiarkan tertunggak.
“Kenapa hanya 15, kalau nak bayar kenalah melibatkan semua baru adil,” katanya lagi.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW