loading...

Wanita Terlanggar Anak Selepas Hantar Ke Prasekolah

KOTA KINABALU – Seorang wanita terlanggar anak perempuannya yang berusia empat tahun dan tiga yang lain, termasuk seorang guru, selepas menurunkan anaknya di prasekolah di Taman Seputeh, Luyang, di sini, pagi tadi.

 

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Megan Wong Shi Ting, bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital KPJ, di sini, akibat kecederaan yang dialaminya.

 

Tiga yang lain, membabitkan masing-masing seorang kanak-kanak pra-sekolah berusia tiga dan empat tahun serta seorang guru berusia 25 tahun, mengalami kecederaan dan trauma dengan kejadian itu.

 

Ketua Polis Bandaraya, Asisten Komisioner M. Chandra ketika mendedahkan perkara itu berkata, wanita berusia 36 tahun itu, baru saja menurunkan anak perempuannya dan melihatnya berjalan kaki ke kawasan sekolah bersama guru kanak-kanak lain, apabila dia tertekan pedal minyak tanpa menyedari dia tidak mengubah gear kepada kedudukan mengundur.

 

“Siasatan mendedahkan kereta meluncur ke depan, melanggar tiga kanak-kanak dan seorang guru. Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 10.10 pagi, kira-kira 40 minit selepas kemalangan itu, manakala seorang kanak-kanak mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan yang lain mengalami trauma.

 

“Guru patah pinggul dan mengalami pendarahan dalaman perut,” katanya.

 

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu, tetapi menambah bahawa mereka akan terus menyiasat kes itu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TheRakyatPost

Previous
Next Post »
loading...