loading...

Munafik Kutip RM2.3 juta Selepas 4 Hari Tayangan

Selepas empat hari tayangan, filem seram, Munafik, berjaya mencatat kutipan memberangsangkan sebanyak RM2.3 juta.

 

Diterbitkan oleh Skop Production Sdn Bhd (SPSB), filem arahan Syamsul Yusof itu turut mendapat ulasan yang baik daripada pengkritik apabila mengetengahkan cerita yang penuh kejutan dan unsur keagamaan di dalamnya.

 

Menampilkan bintang seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, A Galak dan Syamsul sendiri, filem terbabit ditayangkan di 112 pawagam di seluruh negara, termasuk Brunei dan Singapura.

 

Memetik laporan BH online, Datuk Yusof Haslam selaku penerbit berkata pihaknya mendapat maklum balas positif bukan saja daripada kalangan penonton tempatan, malah peminat filem seram dari kedua-dua negara jiran itu juga antara penyumbang terbesar kutipan, khususnya pada hari pertama tayangan.

 

“Tidak dinafikan, promosi dari mulut ke mulut antara faktor filem ini menjadi tarikan kepada penggemar karya genre seram. Boleh dikatakan, hampir semua penonton memberikan maklum balas positif terhadap garapan terbaharu Syamsul ini.

 

“Saya juga tidak menjangka, filem ini berjaya di Brunei dan Singapura. Peminat di sana menyukai elemen Islamik yang diterapkan dalam naskhah berkenaan. Lebih-lebih lagi Munafik terpelihara dari segi aurat yang tidak menyajikan adegan bersentuhan antara lelaki dan wanita,” katanya.

 

Tambah Yusof, Munafik, yang memilik jalan cerita agak rumit dan bijak memperdaya khalayak, berjaya menarik penonton baharu yang sebelum ini jarang ke pawagam.

 

“Kita juga mendapati ada antara penonton baharu yang mula ke pawagam selepas mendengar maklum balas positif mengenai filem ke-39 terbitan kami,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...