loading...

Nazri Mengaku Dirinya Pengampu Najib

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri, Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz mengakui dirinya seorang pengampu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Menurutnya, beliau tidak kisah dilabel sebegitu kerana pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi presiden, beliau tetap menggunakan pendekatan yang serupa.

 

“Saya memang mengampu Najib sebab dia adalah presiden parti saya. Tidak kisahlah apa orang nak kata kerana pada zaman Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jadi presiden parti, saya tetap mengampu mereka,”katanya memetik laporan sebuah portal.

 

Sehubungan itu, Nazri memberitahu, mengampu yang dimaksudkan bukan sesuatu yang salah seadainya bertujuan ia bertujuan untuk membela pemimpin utama negara.

 

“Najib adalah pemimpin saya dan hubungan kami sangat akrab. Jadi, takkanlah saya nak berdiam diri bila ada orang yang menghina atau mencaci dia. Selain sebagai kawan, saya juga menghormati beliau sebagai presiden Umno yang mana saya juga adalah salah seorang ahli majlis tertinggi,” katanya.

 

Tambahnya lagi, tanggapan orang yang mengatakan dia kaki ampu memang tidak salah kerana dia tahu apa yang dilakukan demi kebenaran.

 

“Saya terima apa sahaja orang nak kata tentang saya. Tetapi harus ingat, bukan Najib sahaja yang saya ampu malah sebelum ini juga, Mahathir dan Abdullah juga saya bersikap serupa ketika mereka menjadi presiden parti,” ujarnya.

 

Katanya lagi, selagi apa yang dilakukan itu tidak menggugat kestabilan parti, dia akan terus dengan sikap dan pendiriannya.

 

Terdahulu, Nazri merupakan pemimpin Umno yang cukup lantang dalam menyuarakan bantahan terutama sekali kepada sesiapa sahaja yang cuba mengkritik presiden parti.

 

Sebelum ini, beliau dilabel sebagai ‘samseng Umno’ kerana tidak tunduk kepada sebarang ancaman atau desakan daripada sesiapa.-SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...