Jakarta – Akhirnya Kalijodo, pusat pelacuran tertua di Indonesia dimusnahkan dalam operasi besar-besaran yang dikawal ratusan anggota polis dan tentera.
Tindakan itu diambil selepas kerajaan Indonesia berhasrat menutup semua kawasan pelacuran di negara itu yang majoritinya didiami penduduk Islam.
Menerusi operasi itu, berpuluh-puluh kelab malam dan tempat pelacuran berhampiran sungai yang tercemar di utara Jakarta telah dimusnahkan.
Walaupun hujan lebat, ratusan penduduk di beberapa kejiranan kawasan itu sanggup menyaksikan kerja-kerja merobohkan bangunan di situ.
Datuk Bandar Jakarta Utara, Rustam Effendi berkata, bangunan-bangunan itu dibina secara haram di atas tanah kerajaan sekali gus kerja-kerja merobohkan bangunan itu bakal memberi laluan kepada pembinaan sebuah taman awam.
“Di sini terdapat aktiviti pelacuran secara terbuka, selain penjualan arak,” katanya.
Sejak seminggu lalu, penduduk kawasan itu diarah mengosongkan kediaman dan premis masing-masing, menyebabkan pihak polis menemui beribu-ribu botol minuman keras selepas dirampas daripada beberapa kafe yang diserbu.
Bagaimanapun, rancangan membersihkan kawasan maksiat itu menimbulkan kemarahan di kalangan penduduk sekali gus menyebabkan pihak berkuasa bimbang penunjuk perasaan akan mengganggu kerja-kerja merobohkan lokasi berkenaan.
Keputusan merobohkan kawasan itu dibuat selepas berlaku kemalangan maut yang membabitkan seorang kaki mabuk.
Dalam pada itu, kerajaan mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan supaya menutup 100 pusat pelacuran yang terdapat di seluruh negara itu. – AFP