KALAU sebelum ini manusia sahaja dipecat dari pekerjaan, namun kali ini ia tidak lagi apabila haiwan juga boleh hilang pekerjaan sekiranya gagal menjalankan tugas seperti yang diharapkan majikannya.
Buktinya, ia terjadi kepada sekumpulan kambing yang baharu dibeli oleh Majlis Perbandaran di Selam, Oregon baru-baru ini apabila dipecat serta-merta gara-gara ‘gagal’ menyempurnakan tugas sepertimana dikehendaki oleh syarikat tersebut.
Difahamkan, kesemua 75 ekor kambing jantan dan betina itu dibeli untuk memakan sejenis pokok yang tumbuh liar di sebuah taman popular di sana, bagaimanapun gagal melakukan tugas tersebut selepas sekumpulan kambing terbabit didapati turut memakan tumbuhan lain di taman itu.
Lebih menyedihkan, majlis Perbandaran Salem bukan sahaja terpaksa menanggung peningkatan kos sebanyak lima kali ganda berikutan tindakan binatang tersebut, malah ia juga menyebabkan kawasan taman awam itu berbau busuk dengan najis di merata-rata tempat.
Memetik laporan portal antarabangsa, Statesman-Journal, Majlis Perbandaran Salem ‘mengarahkan’ kambing tersebut supaya meragut rumput jenis Armenian blackberry dan English ivy serta tumbuhan liar lain di kawasan sekitar 485.62 hektar di taman berkenaan.
Bagaimanapun, sekawan kambing tersebut dikatakan makan sembarangan sehingga mengakibat Majlis Perbandaran terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu yang menyamai kos melantik seorang pereka landskap.
Akibatnya, menurut Penguatkuasa taman bandar itu, Keith Keever, taman tersebut yang dibina sebagai salah satu daripada program perintis terpaksa ditamatkan pada November lalu.
Laporan pekerja perbandaran kepada pihak berkuasa tempatan mendedahkan, projek tersebut menelan belanja AS$20,719 (RM87,434) antaranya termasuk AS$4,203 (RM17,736) sebagai kos air minum dan tandas pekerja serta AS$2,560 (RM10,803) untuk pemantauan.
Sementara itu, pemilik syarikat yang menawarkan khidmat sewaan kambing itu, Yoder Goat Rentals, Rachel McCollum menyatakan bahawa ternakannya boleh menjalankan kerja dengan bagus, selain turut mendapat sambutan orang ramai.
“Kambing saya sangat dialu-alukan pengguna taman kerana selain menyenangkan mereka, kehadiran haiwan berkenaan turut mengindahkan pemandangan,” katanya.