loading...

Imbasan Sejarah Tiga Kali Dr Mahathir Keluar UMNO

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merekodkan sejarahnya yang tersendiri apabila petang semalam sekali lagi mengumumkan keluar dari UMNO.

 

Pengumuman semalam itu bermakna dalam tempoh 47 tahun sejak 1969 sudah tiga kali Dr Mahathir keluar dari UMNO kerana alasan yang sama – konflik dan tidak puas hati dengan pucuk pimpinan parti.

 

Pada 19 Mei 2008, dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 2008 (PRU-12), Dr Mahathir mengambil langkah serupa mengumumkan keluar UMNO berikutan perasaan tidak puas hatinya dengan kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).

 

Peristiwa kali kedua Dr Mahathir keluar UMNO itu berlaku kira-kira lapan tahun lalu selepas seorang ahli PAS dari Kedah, Ismail Wan Teh mencabar Dr Mahathir keluar dari UMNO ketika sesi soal jawab dialog di sebuah hotel di Alor Setar.

 

Beliau menyertai semula UMNO pada 4 April 2009, beberapa hari selepas Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan Pak Lah.

 

Penyertaan semula Dr Mahathir bersama UMNO ketika itu bagaimana pun gagal membantu BN untuk menguasai semula Parlimen Bukit Gantang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 April 2009.

 

Terdahulu, akibat serangan bertali arus Dr Mahathir ke atas Pak Lah sejak 2006 hingga menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan dan BN hilang penguasaan di lima buah negeri melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 2008.

 

Kelantan yang sebelumnya jatuh ke tangan PAS sejak PRU 1990 susulan perpecahan dalam UMNO membabitkan sengketa antara Dr Mahathir dengan Team B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menyaksikan BN tewas lebih teruk dalam PRU 12 2008 dengan hanya memenangi enam daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri.

 

Dr Mahathir yang pernah menjadi Presiden UMNO selama 22 tahun pertama kali dipecat dari parti itu pada 26 September 1969, susulan sengketanya dengan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

 

UMNO menerima semula keahlian beliau pada 7 Mac 1972 selepas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak yang mengambil alih jawatan Presiden parti.

 

Selepas kembali bersama UMNO, Dr Mahathir diberi ruang seluas-luasnya untuk mendaki hierarki kepimpinan parti sehinggalah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sewaktu Tun Hussien Onn menjadi Perdana Menteri ketiga selepas Tun Abdul Razak.

 

Beliau kemudiannya mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas Tun Hussien Onn meletakkan jawatan pada Julai 1981.

 

Sejak mengambil alih jawatan Presiden UMNO serta menjadi Perdana Menteri Keempat, Dr Mahathir sering menekankan kepentingan di kalangan ahli dan pemimpin UMNO supaya taat setia tanpa berbelah bahagi kepada parti terutama sekali ketika kemelut di antara Team A dan Team B pada 1987 serta semasa zaman reformasi 1998-99.

 

Sepanjang 22 tahun menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, beliau pernah dibantu oleh empat timbalannya yang bersilih ganti iaitu Musa Hitam, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi.

 

Di antara keempat-empat bekas timbalannya itu hanya Allahyarham Tun Ghaffar Baba yang kekal menjadi rakan politik Dr Mahathir.

 

Dalam tempoh itu juga Dr Mahathir memusuhi dan dimusuhi oleh dua bekas Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien Onn yang menentang corak pentadbirannya terutama selepas kemelut Team A dan Team B tahun 1987.

 

Tiga tahun selepas tidak lagi berada di tampuk kuasa, Dr Mahathir mula mengkritik kepeimpinan orang pilihannya, Pak Lah dan kini menyerang Datuk Seri Najib yang juga orang pilihannya selaku Perdana Menteri selepas beliau berjaya menjatuhkan Pak Lah sepanjang sengketa 2006 – 2009. – SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...