Kuala Lumpur – Parti Amanah Negara (AMANAH) mengajak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai parti itu untuk melakukan perubahan kepada rakyat.
Ajakan itu dibuat selepas PKR termasuk PKR Johor menyeru Muhyiddin menyertai gerakan ‘reformasi’ untuk melawan pemerintah yang tidak adil.
Menurut Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan sebagai berkata, sekiranya seluruh ahli UMNO Johor keluar parti dan menyertai mereka, ia membuktikan penyatuan anak-anak Johor dalam bersama melakukan gelombang perubahan negara.
“Dua sosok anak Johor, (bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan Muhyiddin) ini menggambarkan betapa bangsa Johor dilihat gah dalam kepimpinan negara. Kedua-duanya merupakan pemimpin yang berprinsip.
“Saya selaku pengerusi dengan semangat #BangsaJohor yang tertanam hebat dalam diri setiap rakyat Johor, dengan ini mengajak seluruh rakyat Johor tidak kira dari parti mana dan kaum apa untuk sama-sama buktikan, bangsa Johor bakal mengetuai gelombang perubahan rakyat!” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, Muhyiddin bersama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin perlu berjuang untuk membebaskan negara daripada segala permasalahan dan skandal.
“Bersamalah dengan AMANAH sekali gus bergabung padu dengan Pakatan Harapan. Kita bersatu demi keadilan dan kemajuan bangsa Johor dan Malaysia,” katanya lagi.
Sementara itu gesaan yang sama turut dibuat oleh PKR Johor terhadap Muhyiddin untuk menyertai ‘reformasi’ melawan pemerintah tidak adil.
Timbalan Pengerusinya, Jimmy Puah Wee Tse, berkata ia adalah peluang keemasan untuk Muhyiddin dalam arena politik tanah air bagi melakukan perubahan.
“Sebagai seorang tokoh dan ahli politik kanan di Johor, Muhyiddin masih mempunyai pengaruh dan boleh memainkan satu peranan yang penting dalam menyumbang kepada gelombang perubahan reformasi di kubu terakhir UMNO.
“Tetapi juga ingin dinyatakan disini, masa dalam politik adalah suntuk, sekiranya Muhyiddin masih pilih untuk menjadi pemain ‘solo’ maka itu merupakan satu peluang keemasan yang terlepas,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Wee Tse berkata, perjalanan politik Muhyiddin semakin tersepit apabila beliau digantung jawatan menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.
Katanya, Muhyiddin perlu mengambil satu langkah yang tepat dan berani untuk terus berada dalam arus politik semasa Malaysia.
“Walaupun UMNO Johor telah mengambil pendirian mengakur kepada keputusan Majlis Tertinggi, ini tidak sebenarnya mengambarkan situasi sebenar.
“Ramai akar umbi dan pemimpin peringkat cawangan yang masih sukar terima keputusan MT UMNO yang sanggup menjatuhkan hukuman pengantungan begitu keras kepada seorang pemimpin UMNO paling ‘senior’ di Johor; seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Johor,” katanya.