KUALA SELANGOR — Dua nelayan memberanikan diri mendekati pesawat pengangkut CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mendarat cemas dekat sini dalam usaha menyelamatkan lapan anak kapalnya pagi semalam.
Saari Mohd Nor, 51, berkata beliau dan seorang lagi rakannya yang berada kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian melihat api marak berserta kepulan asap di sekeliling kawasan itu.
Katanya, selepas 10 minit api yang marak mula padam, beliau memberanikan diri mendekati lokasi kejadian sebelum melihat mangsa melambaikan tangan meminta bantuan.
“Saya suruh mereka bertenang sebelum membantu menyelamatkan mangsa seorang demi seorang… seorang wanita dan tujuh lelaki.
“Kapten pesawat itu patah tangan dan selepas berjaya menyelamatkan mereka, kami membawa kesemua mangsa menaiki bot sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Saari berkata beliau dan rakannya sedang menjalankan rutin harian mereka mengutip siput di persisiran pantai itu ketika kejadian dan terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat.
Seorang saksi lain pula mendakwa pesawat itu dilihat berlegar-legar di ruang udara selama lima minit dan cuba mendarat.
S Veerasingam, 21, berkata ketika kejadian dia sedang membersihkan laman rumahnya yang terletak kira-kira 3 kilometer dari lokasi kejadian.
“Selepas itu, terdengar bunyi letupan sebanyak lima kali sebelum asap tebal kelihatan di lokasi berkenaan…saya dan orang kampung terkejut serta segera ke lokasi kejadian.
“Namun, kami tidak dapat melihat keadaan pesawat yang sebenar berikutan lokasi kejadian jauh dari persisiran pantai dan agak sukar memasuki kawasan itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Veerasingam yang juga seorang anggota Rela dan menetap di Batu 2, Kuala Selangor sejak 10 tahun lalu berkata, pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit selepas insiden berkenaan.
Dalam kejadian pukul 8.50 pagi semalam, pesawat yang membawa lapan anak kapal membuat pendaratan cemas di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor.
Kesemua anak kapal selamat selepas dibantu nelayan tempatan di kawasan itu. — Bernama