Kuala Lumpur – Individu yang menghina pemimpin UMNO dengan mengedit gambar menyerupai binatang dianggap sebagai kafir sekiranya pelaku itu beragama Islam.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Abdul Rani Kulop Abdullah menegaskan, perbuatan seperti itu boleh mendatangkan fitnah.
“Ini adalah satu perkara biadap, kurang ajar dan perbuatan yang sangat keji dan memalukan. Diingatkan, jangan sesekali mengedit gambar pemimpin dengan mengubah seluruh tubuh manusia kepada bentuk lain.
“Mengikut Islam haram hukumnya. Kalau yang buat itu orang Islam, ia boleh datangkan fitnah dan menjadikan kafir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.
Abdul Rani berkata demikian mengulas mengenai tindakan seorang pengguna Facebook yang mengedit dan memuat naik gambar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerupai seekor binatang baru-baru ini.
Abdul Rani atau mesra dipanggil “ayah” turut menggesa agar Polis DiRaja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri menyiasat individu yang bertanggungjawab mengedit gambar tersebut.
Dia turut juga mencadangkan agar individu yang suka mengedit gambar pemimpin UMNO dikenakan tindakan keras seperti sebatan dan penjara.
“Saya seru mereka yang suka edit gambar dan mengubah nama orang, hendaklah berhenti daripada terus melakukannya.
“Individu itu juga hendaklah dikenakan hukman berat seperti penjara 20 tahun dan sebatan. Cari sampai ke akar umbi supaya dapat diambil tindakan terhadap orang-orang yang edit itu,” tegasnya. – FMT