loading...

PAS Tak Hadir Demo Anti-Najib Kerana Politik Matang – Nasrudin

SHAH ALAM – Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan hari ini membela Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memutuskan untuk tidak hadir dalam perhimpunan anti-Najib 27 Mac depan.

 

Nasrudin berkata, tindakan Abdul Hadi itu menepati kriteria budaya politik matang yang kini sedang diterajui PAS.

 

Katanya, PAS kini menjalankan politik berteraskan orientasi yang berasaskan prinsip dan dakwah yang menolak politik kebencian dan emosi.

 

Malah, beliau menjelaskan, PAS juga memilih kaedah demokrasi untuk menaikkan atau menjatuhkan seseorang pemimpin.

 

“PAS menolak budaya anarki. Perlu disedari semua bahawa politik PAS adalah untuk menyelamatkan ummah dengan Islam yang dijulang dan syariat yang diperjuangkan.

 

“Justeru itu, PAS tidak memusuhi individu sebaliknya apa yang dimusuhi PAS ialah ideologi, dasar dan sistem yang bertentangan dengan syariat Islam,” kata Nasrudin dalam kenyataannya semalam.

 

Sambil memberikan contoh bahawa parti Islam itu umpama doktor yang menerima dan merawat pesakit kronik, Nasrudin berkata seorang doktor hanya memerangi penyakit dan bukan pesakit.

 

Anggota parlimen Temerloh itu juga turut memberi contoh syarikat dan pemandu bas bagi menjelaskan tentang sistem penukaran pemimpin.

 

Katanya, jika kenderaan rosak, pertukaran pemandu tidak akan memulihkan bas tersebut namun dengan memilih kenderaan serta pemandu yang bagus ia dapat memastikan destinasi yang ingin dituju tiba dengan selamat.

 

“PAS sejak awal telah menawarkan kenderaan yang baik dan pemandu yang berhemah kepada publik untuk menuju destinasi yang masih jauh. Marilah sertai PAS dengan kenderaan dan pemandunya yang baik.

 

“Usah terpedaya dengan piket yang dianjurkan kononnya mereka memerlukan pemandu yang baru, walhal kenderaan itu mengalami kerosakan enjin yang teruk.

 

“PAS tidak mahu mengambil risiko menyeret negara ke arah anarki yang hanya merosakkan kestabilan politik, menjahanamkan ekonomi serta menyengsarakan rakyat yang sedia susah,” katanya lagi.

 

Hadi semalam dilaporkan berkata beliau tidak akan menyertai sebarang himpunan bagi mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya.

 

Katanya, walaupun beliau anti-Umno, beliau tidak anti orang Umno, lapor Sinar Harian.

 

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyuarakan hasrat menganjurkan perhimpunan tertutup 1,000 orang bagi mendesak pengunduran Najib pada 27 Mac depan. – AntaraPos

Previous
Next Post »
loading...