loading...

Tun Mahathir Mahu UMNO Kalah PRU 14

Kuala Lumpur – Beberapa pemimpin UMNO mendakwa, langkah Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan keluar dari parti itu adalah disebabkan beliau mahu melihat parti Melayu tersebut kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa, tindakan bekas Perdana Menteri itu jelas menunjukkan beliau bukan sahaja mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak malah, sudah lama menikam UMNO dan mahu ia kalah dalam PRU akan datang.

 

“Tun Mahathir sebenarnya sudah lama hilang pertimbangan, maka tindakan beliau keluar UMNO tidak lagi mengejutkan bahkan tidak lagi relevan. Dia sudah lama sebenarnya menikam UMNO kerana tindakan mengganggu kepimpinan Najib adalah sama seperti mensabotaj UMNO untuk kalah dalam PRU ke-14.

 

“Tindakan Tun M adalah betul, kerana lebih baik dia berjuang dari luar untuk menyerang Najib setelah gagal hampir setahun untuk menumbangkan Najib dari dalam.” katanya.

 

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab Aziz Kaprawi menyifatkan, tindakan Dr Mahathir itu adalah tindakan seorang pemimpin yang kalah pada pertembungannya dengan Najib.

 

“Tun M sudah mula kecewa dengan ahli UMNO yang sentiasa melindungi Najib dan tidak bagi sokongan pada dia, dia lihat orang UMNO semuanya berada di belakang Perdana Menteri, ini bermakna dia sendiri merasakan yang pemimpin UMNO sudah jelek dengan tindakan Tun Mahathir itu sendiri,” tambahnya.

 

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menasihatkan agar semua pihak tidak mempedulikan tindakan Dr Mahathir yang dianggapnya bukanlah sebagai astu langkah yang baik untuk dicontohi generasi yang bakal menjadi pemimpin kelak.

 

“Saya tidak nampak cara yang dilakukan oleh beliau boleh menjadi tauladan kepada generasi baru dalam UMNO.
“Ini kerana Tun Mahathir sepatutnya memikirkan kesan pada parti melebihi yang lain,” ujarnya.

Previous
Next Post »
loading...