loading...

Akim Tercari-Cari Songkok Sehari Menjelang Hari Pernikahan

KOTA KINABALU – Akibat terlalu fokus menyiapkan perihal perkahwinannya, Akim Ahmad, 25, tertinggal songkok untuk dipakai pada majlis pernikahannya, pagi esok.

 

Justeru, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad berkata, beliau melilau di sekitar Sabah mencari songkok yang sesuai untuk baju yang bakal dipakainya bagi majlis akad nikah.

 

“Setelah mencari di serata tempat, akhirnya saya jumpa juga songkok yang sesuai di Wisma Muis. Tidak sangka, dalam banyak-banyak benda, songkok pula boleh tertinggal.

 

“Saya juga seperti tidak percaya berada di sini untuk berkahwin. Ada masa, saya rasa seperti kunjungan ke sini adalah bagi mengadakan persembahan, namun hakikatnya kedatangan saya adalah untuk perkara yang jauh lebih penting,” katanya kepada BH Online.

 

Menurut Akim, beliau juga baharu saja selesai menjalani penggambaran program walimatulurus untuk sebuah stesen televisyen berbayar, yang juga penyiar utama majlis perkahwinannya.

 

Sementara itu, ketika berkongsi cerita mengenai tunangnya, penyanyi ini

berkata, Stacy enggan bertemu dirinya sehingga selesai majlis pernikahan mereka esok.

 

“Saya belum berkesempatan untuk bertemu Stacy lagi kerana dia enggan berjumpa dengan saya sebelum majlis pernikahan. Lebih afdal juga rasanya untuk kami tidak berjumpa bagi mengikut pantang larang adat Melayu.

 

“Stacy juga baharu selesai majlis berinai, petang tadi. Bagi saya, pengantin lelaki tidak perlu untuk berada di majlis itu kerana ia khas diadakan bagi meraikan pengantin perempuan,” jelas Akim secara tenang.

 

Sementara itu, Akim mengakui berdebar untuk melafaz akad nikah, namun menyerahkan segalanya kepada Allah. Vokalis kumpulan The Majistret itu juga enggan terlalu memikirkan soal tekanan sempena majlis bersejarahnya itu.

 

“Saya ada juga berlatih melafazkan akad bersama pengurus, namun tidaklah secara serius. Biarlah segalanya berjalan secara ikhlas.

 

“Sejauh mana pun kita merancang, segalanya terletak di tangan Allah. Biarlah majlis esok mendapat restu daripada-Nya,” kata Akim mengakhiri wawancara. – BHarian


Previous
Next Post »
loading...