1. Saya baca komen serangan demi serangan kepada Dato Seri Ahmad Bashah dan Dato Seri Mukhriz di media sosial. Saya rumuskan sebahagian besar serangan itu dibuat oleh mereka yang bukan saja tidak kenal kedua-dua pemimpin itu tetapi juga tak faham politik Kedah.
2. Saya percaya mereka yang buat komen itu tidak tahu di mana Lana Bulu, Hutan Palas, Pida Sembilan, Pering dan Megat Dewa. Kalau mereka tahu, mereka tidak akan menulis komen buruk kepada kedua-dua pemimpin tersebut.
3. Apa yang saya tahu mengenai politik Kedah, kesemua mereka baik-baik belaka. Walau parti apa sekali pun, mereka sangat rapat antara satu sama lain. Kedah ni besar sikit dari Perlis, nak bergaduh pun tak pi ke mana. Sewaktu berselisih dengan Dato Mahfuz Omar di Parlimen baru-baru ini, dia angkat kening dan tepuk bahu saya sambil kata, “Dah lama tak jumpa.” Saya tak ingat bilakah kali terakhir berjumpa beliau, tetapi itulah cara orang Kedah berpolitik, mesra dengan semua.
4. Usahlah perlekeh orang lain untuk menjadikan taukeh politik kita kelihatan hebat. Saya sebutkan berulangkali, orang lain mungkin buruk tetapi itu bukan bermaksud kita baik. Orang Kedah tak heran dengan orang yang ada PhD atau Masters. Kalau itu ukuran, dah lama saya jadi Menteri Besar.
5. Saya percaya Bashah dan Mukriz berjiwa besar. Saya berani kata begitu kerana kedua-duanya pernah duduk di bawah sewaktu saya bercakap di atas pentas mengenai politik Kedah selama tiga hari, beberapa tahun lalu. Saya boleh baca pemikiran kedua-duanya.
6. Sewaktu jumpa di PWTC baru-baru ini, saya tanya Bashah, “Dato Seri ingat saya lagi tak?” Dia balas, “Hawat tak ingat, kita sama-sama di Langkawi dulu.” Kelebihan Bashah ialah dia kenal dan ingat orang. Itu kelebihan pemimpin sepat benua.
7. Bagi saya, cukuplah. Sekarang ialah masa untuk kita bergerak ke hadapan.
8. Kedah bukanlah sebuah negeri yang complicated. Orang Kedah pun simple saja. Kehidupan mereka tidak kompleks.
9. Bajet Kedah pun bukan besar sangat. Tak ada apa yang nak dicekau. Hanya RM700 juta.
10. Nak mentadbir Kedah tak susah sangat. Buat hubungan baik dengan KCS kerana mereka taat kepada Tuanku Sultan dan akan melaksanakan apa saja aspirasi pemimpin. Pelihara hubungan dengan pemimpin parti kerana mereka jadi benteng politik. Pastikan pak long dan pak ngah boleh pi bendang dan pi motong getah, mereka akan seronok. Ada kenduri kahwin, pi. Ada kematian, pi.
11. Orang kampung bukan kelapaq sangat wang ringgit atau derma. Depa nak tengok pemimpin jengoi mai apabila depa ada masalah.
12. Saya ingin melihat Bashah dan Mukriz bersama-sama membangunkan Kedah. Setiap orang ada kelebihan masing-masing. Berpakatlah. Bukan setakat itu, berpakatlah dengan kesemua ADUN walau apa parti sekali pun. Kesemua mereka dipilih oleh rakyat.
13. Saya ingat lagi sms pertama saya kepada Mukhriz sewaktu beliau mula-mula jadi Menteri Besar. Saya kata, Ustaz Azizan adalah Menteri Besar yang baik. Sebagai orang Kedah, saya mengharapkan kerajaan negeri jaga Ustaz Azizan (yang ketika itu sedang sakit) dengan baik. Kalau saya tak cakap pun, Mukhriz akan buat begitu kerana Mukhriz adalah seorang yang baik. Ini adab dan politik Kedah.
14. Bashah sudah lebih 60 tahun, Mukhriz 50 tahun, sebaya dengan saya. Berapa lama lagi kita nak tongkat langit? Tak lama lagi kita akan mati. Jawatan Menteri Besar pun orang tak tulis kat batu nisan. Oleh itu, kita doronglah pemimpin untuk buat kebaikan demi kebaikan untuk rakyat kerana inilah amalan yang akan dibawa apabila kita masuk kubur nanti.
15. Berhentilah perbuatan bodoh melaga-lagakan Bashah dan Mukriz, apatah lagi mengaibkan kedua-duanya, semata-mata kerana nafsu serakah politik kita!
Haji Norizan Shariff
– Tulisan di atas adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan SuaraTV.

Warga China Maut, Rakan Serumah Melecur Dalam Keba ...

Saya Dah Kena Block Oleh Puan Abby Dan Anaknya ...

Mark Zuckerberg Akui Tiktok Ancaman Besar Buat M ...

Selalu Ada Stereotaip.. Pengarah Puji & Ko ...