KUALA LUMPUR – Seramai 25 orang aktivis mengadakan bantahan Perjanjian Trans Pasifik (TPPA) di hadapan bangunan parlimen hari ini.
Sambil melaungkan “Bantah, bantah…bantah TPPA, tolak Najib, tolak korupsi, hidup rakyat,”dengan memegang sepanduk bantah TPPA, mereka mengadakan tunjuk perasaan hampir dua jam.
Seorang daripadanya, Nasyita Mohamad ditemui berkata, selagi rakyat rasa mereka boleh makan, mereka tidak akan sedar negara ini telah terancam.
“Ada rakyat malaysia yang sedar dan turun dalam perhimpunan lalu menunjukkan sokongan kepada bantahan TPPA. Kita dah banyak lakukan perhimpunan, tidak adil jika saya katakan setiap perhimpunan itu tidak berjaya, kerana itu adalah tanda ada segelintir rakyat yang berani.
“Usaha takkan berakhir. Kita akan teruskan usaha untuk memperjuangkan keperluan rakyat,”katanya.
Terdahulu, perhimpunan bantah TPPA sabtu lalu menyaksikan seramai hampir 4,000 orang berkumpul dengan tujuan sama termasuklah Persatuan Pribumi Malaysia (Perkasa), Bersih, PSM dan mahasiswa.-SuaraTV