KOTA BHARU – Hanya kerana ingin cepat untung, seorang pemilik kafe menerima padah apabila didenda sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana menaikkan harga minuman teh O ais daripada RM2.80 kepada RM4 segelas pada September tahun lalu.
Hakim Adli Abd. Ghalib menjatuhkan hukuman itu terhadap Jessica Choo Kim Lian, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, Jessica didakwa mencatut dalam menjual segelas teh O ais dengan menaikkan harga daripada RM2.80 kepada RM4 di premis Ozarah Cafe, Jalan Tok Hakim di sini pada 29 September 2015.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan. Tertuduh membayar denda tersebut.
Tertuduh didapati gagal mematuhi Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18(b), akta sama. – Kosmo!
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW