KUALA PILAH – “Sakura di Jepun mengeluarkan bunga mengikut musim tertentu dan berbeza dengan tecoma yang sering berbunga secara tiba-tiba. Faktor ini menjadi satu penyebab tecoma begitu mekar sehingga pengguna jalan raya berasa seolah-olah berada di Jepun,” kata Pegawai Pertanian Daerah Mohd Azuan Mohd Yusof.
Katanya, walaupun lebih dikenali sebagai Sakura Malaysia, tetapi bunga ini tidak mempunyai persamaan dengan Sakura di Jepun.
“Selalunya tecoma subur selepas musim panas. Seperti sedia maklum, Kuala Pilah yang dilanda musim kering sejak beberapa bulan lalu mula dibasahi hujan,”katanya, lapor Metro.
Keindahan bunga Sakura Malaysia yang dilihat mula berkembang mekar di Jalan Juasseh ke Batu Kikir menarik perhatian pengguna yang melalui jalan terbabit
Sakura Malaysia atau lebih dikenali dengan nama tecoma mula mengeluarkan bunga berwarna putih dan merah sejak seminggu lalu.
Menurut Mohd Azuan, tecoma dikategorikan bunga landskap dan jangka hayatnya tidak lama.
“Tecoma cepat berkembang, tetapi pada masa singkat bunganya akan gugur. Sebaik semua bunga ini gugur, kita tidak dapat pastikan bilakah tecoma berbunga kembali.
“Bagaimanapun, panorama di sepanjang satu kilometer bermula dari Taman Seri Gelugor hingga Taman Anggerik memukau pengguna malah mengindahkan lagi suasana lanskap di laluan ini,” katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW