KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menempelak Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang mempertikai tindakan beliau menangguhkan huraian mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 pada sidang Dewan Rakyat Mac tahun depan.
Abdul Hadi menegaskan, Rafizi tidak mempunyai hak untuk mendakwa tindakan tersebut sebagai permainan UMNO kerana tujuan utama penangguhan adalah untuk memberi ruang kepada lebih banyak penerangan diberikan di seluruh negara serta perjumpaan dengan semua pihak termasuk dialog dalam kalangan bukan Islam sendiri.
Malah, Presiden Pas itu mengulangi peringatan agar jangan sesekali membakar sentimen yang boleh menggugat keamanan negara menggunakan isu rang undang-undang tersebut untuk keuntungan politik masing-masing.
“Itu tidak betul…saya bukan melengah-lengahkan, tetapi untuk memberi ruang penambahbaikan dan memberi peluang kepada semua pihak supaya memahami dengan cara yang betul sebab saya tidak bertindak dengan cara tergopoh-gapah.
“Sebenarnya mereka nak tutup di situ dengan undi di Parlimen, itu tidak boleh. Undi tidak mewakili seluruh masyarakat Islam. Hendak bakar keamanankah?
“Mereka ini tidak fikir untuk kepentingan agama, kepentingan politik mereka lebih tinggi daripada segala-galanya, tetapi kita tidak begitu,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Rusila dekat sini semalam sejurus selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila yang terletak bersebelahan. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW