Meskipun sudah menginjak usia 60 tahun, namun penyanyi Zaiton Sameon itu masih meneruskan kelananya sebagai anak seni. Malah beliau yang kini sudah bertudung, bakal keluar dengan album baharu, sekali gus bakal mengubat kerinduan peminat terhadap dirinya.
“Selepas berehat lama, kini saya kembali aktif menyanyi. Sekarang saya banyak mendapat tawaran menyanyi untuk majlis-majlis seperti majlis makan malam atau ulang tahun syarikat korporat.
“Terbaharu, saya bakal membuat persembahan untuk Karnival Sehati Sejiwa di Kuala Pilah. Tidak lama lagi akan ke Brunei juga untuk memenuhi satu undangan nyanyian, katanya seperti yang dilaporkan Kosmo hari ini.
Penyanyi yang cukup popula dengan lagu Menaruh Harapan itu turut meluahkan rasa terkilan dan sedih kerana ada sesetengah pihak yang menganggap dirinya tidak siuman.
“Saya agak terharu dan terkejut setiap kali mendapat tawaran membuat persembahan. Tidak sangka masih ada segelintir pihak yang mengingati saya walaupun wujud kata-kata sumbang mendakwa, saya sudah tidak boleh bernyanyi.
“Malah, ada juga mengatakan saya ini gila. Tuhan sahaja yang tahu kebenaran di sebalik kata-kata sebegitu.
“Sudah pastilah saya sedih dan terkilan apabila dituduh gila. Tetapi kita tidak boleh menutup mulut orang.
Walaupun saya tahu siapa yang berkata demikian, tetapi biarlah. Saya sudah maafkan mereka dan tidak akan mengambil sebarang tindakan,” katanya.