KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didesak supaya menamakan calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Datuk Seri Najib Razak berjaya disingkirkan.
Ahli Dewan Negara, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, sehingga kini Dr Mahathir tidak menyebut mana-mana pemimpin yang layak untuk menggantikan Najib.
“Siapa yang beliau nak cadangkan dan nak lantik? Adakah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, atau anak beliau Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Kita nak tahu, sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat sokongan parti dan rakyat dalam pilihanraya,” katanya dalam sidang media di Plaza Sentral hari ini.
Bekas Ketua Menteri Melaka dan Naib Presiden UMNO berkata, Deklarasi Rakyat yang dipimpin Dr Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO serta pembangkang tidak akan berjaya.
Katanya, mereka yang terlibat dalam gerakan itu ada kepentingan peribadi dan matlamat yang lain sekaligus mengagalkan usaha mereka untuk menjatuhkan Najib.
“Gabungan (Deklarasi Rakyat) tidak ikhlas kerana masing-masing ada matlamat sendiri.
“Tun Mahathir ada matlamat sendiri, Kit siang ada matlamat dia untuk jadi Perdana Menteri. Kita tahu juga DAP khususnya merupakan parti cauvenis dan tidak akan dapat berjaya bergabung dengan Dr Mahathir.
“Kit Siang hanya menggunakan Tun Mahathir untuk menjayakan matlamatnya menjadi Perdana Menteri. Itu impian Kit Siang dari dulu lagi,” katanya.
Dr Mahathir dan beberapa kumpulan penentang dalam UMNO serta pemimpin pembangkang telah mengerakkan satu kempen Deklarasi Rakyat yang bertujuan untuk menjatuhkan Najib.
Kumpulan itu menggerakan kempen Selamatkan Malaysia dengan mendakwa Najib telah membawa banyak kerosakan kepada Negara kerana dituduh terlibat dalam skandal 1MDB dan dana RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.