KUALA LUMPUR – Seorang Orang Kurang Upaya (OKU) kecewa apabila bank tidak meluluskan pinjamannya bagi pembelian sebuah rumah.
Menurut lelaki OKU tersebut, dia cuba mengambil peluang menerusi tawaran pembelian rumah di Selangor.
“Saya cuba mohon walaupun saya banyak tidak menepati syarat sebab bukan kerja, tinggal di Selangor. Saya masih bujang, tapi saya cuba mohon… Alhamdulillah ditakdirkan dapat tawaran dan saya telah menerimanya.
“Selepas itu mereka deal dengan Maybank, Subang Perdana untuk pinjaman saya. Segala dokumen telah dihantar. Jarak ke sana bukan mudah.. kos RM70 pergi balik. Tunggu sekian lama, setahun namun tiada khabar berita.
“Saya ingatkan tidak dapat surat pinjaman rumah tersebut. Tapi saya dapat kunci rumah tapi tak dapat jawapan daripada Maybank,” jelasnya panjang lebar.
Katanya lagi, pemaju tersebut menghubunginya dan berkata, masih terdapat tawaran tersebut namun pinjamannya tidak mendapat kelulusan bank.
“Sebab reject tiada jawapan. Pemaju perumahan menyuruh saya cari sendiri bank lain atau bayaran tunai sahaja diterima untuk tawaran pembelian perumahan tersebut,” katanya.
Menurut lelaki OKU itu lagi, pemaju perumahan tersebut turut bertanyakan sama ada beliau mempunyai simpanan KWSP (EPF).
“EPF ada. Saya cuba meminta bantuan daripada keluarga yang ada tetapi saya juga mengharapkan bantuan mana-mana pihak yang dapat membantu.
“Saya amat memerlukan rumah ini dan takkan selamanya saya nak menyewa. Walaupun ini rumah PPR, tetapi ia dapat selesai masalah hidup saya. Rumah ini dekat dengan LRT dan mudah untuk saya ke tempat kerja,” ujarnya.
Tambahnya lagi jika di tempat lain belum tentu dia mendapat tawaran sebegini.
Terdahulu, dia telah menunggu selama 3 tahun untuk mendapatkan rumah tersebut.
Dia turut mengosongkan akaun tabung haji dan akaun hariannya semata-mata untuk mendapatkan rumah tersebut.
“Kalau gagal satu kerugian dan kehilangan yang besar,” katanya dan menyatakan 30 Mac merupakan tarikh terakhir pembayaran rumah tersebut. – SuaraTV