KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada landasan untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 4 dan 4.5 peratus pada tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Beliau berkata ini berdasarkan harga minyak semasa yang menggalakkan dan sejajar dengan anggaran pakej dasar yang sedia ada, selain usaha kerajaan untuk memastikan pertumbuhan dapat dicapai.
“Ya, saya percaya kita berada pada landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK tersebut. Jika tidak, anda akan melihat lebih banyak langkah diperkenalkan,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Kewangan Bertanggungjawab di sini Rabu.
Zeti turut memuji langkah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menghasilkan manfaat fiskal yang besar.
“Setakat ini, ia menghasilkan keputusan yang diharapkan dan isi rumah juga menyesuaikan diri dengan GST,” katanya.
Sidang kemuncak selama dua hari yang julung kali diadakan itu menghimpunkan pihak berkepentingan utama daripada sektor kewangan Islam untuk membina hubungan bagi menyokong pertumbuhan pesat dan meningkatkan impak boleh diukur industri.