loading...

Adenan Masih Berteka-Teki Tarikh Bubar DUN Sarawak

BAU (Sarawak) – Tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11) terus menjadi rahsia namun Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem memberi gambaran bahawa ia akan diumumkan tidak lama lagi.

 

Ditanya pemberita tentang perjumpaan beliau dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud esok, Adenan berkata perjumpaan itu diadakan seperti kebiasaannya sebelum setiap mesyuarat kabinet negeri.

 

“Mungkin pertemuan esok peluang bagi saya untuk meminta supaya beliau membubarkan DUN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ketua Menteri Sarawak bersama Rakyat di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini.

 

Sementara itu, beliau berkata tarikh pertemuannya bersama dua bakal calon Barisan Nasional (BN) Datuk Harry Henry Jinep daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan penyandang kerusi yang juga timbalan presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Datuk Peter Nansian Ngusie akan ditetapkan kemudian.

 

Sebelum itu, dalam ucapannya Adenan berkata beliau mahu terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan kedua-dua bakal calon itu sebelum memutuskan siapa antara mereka akan dipilih untuk menjadi calon BN bagi mempertahankan kerusi Tasik Biru pada pilihan raya akan datang.

 

Adenan turut menafikan laporan sebuah akhbar kononnya beliau telah memutuskan Nansian sebagai calon BN bagi kerusi berkenaan, sambil menyatakan beliau kagum dengan sokongan terhadap Harry kerana turut mendapat sokongan kesemua parti komponen BN.

 

Beliau berkata pilihan raya negeri akan datang amat bermakna bagi BN dan Pasukan Adenan kerana ia akan menentukan siapa yang akan menjadi ketua menteri Sarawak yang berikutnya bagi tempoh lima tahun.

 

“Saya memerlukan mandat yang besar daripada rakyat Sarawak supaya saya boleh bersuara kepada kerajaan pusat untuk mendapatkan peruntukan yang besar untuk memajukan negeri Sarawak serta menuntut supaya kuasa autonomi negeri kita dikembalikan kepada kita,” katanya. – BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...