SHAH ALAM – Suasana gembira menyambut kepulangan bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo di kediamannya di sini petang tadi.
Khir Toyo yang tiba di kediaman beliau pada jam 7.15 petang disambut ahli keluarga dan sahabat yang menunggu sejak jam 5.30 petang tadi.
Sejurus tiba, doa selamat dibacakan dan disusuli dengan solat Maghrib berjemaah di perkarangan rumah beliau.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo diberikan parol hari ini selepas menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 6 bulan.
Ahli lembaga parol yang bermesyuarat pagi tadi bersetuju untuk meluluskan permohonan peguam bekas menteri besar Selangor itu.
Melalui sistem itu, banduan yang diberikan parol akan menjalani baki hukuman di luar penjara di bawah pengawasan pegawai Parol untuk tinggal bersama keluarga.
Dr Mohamad Khir sebelum ini disabitkan atas pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isteri.
Mahkamah Persekutuan pada 29 September tahun lalu mengekalkan hukuman 12 bulan penjara sabitan terhadap Dr Mohamad Khir.
Dr Mohamad Khir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007. – SuaraTV