MELAKA – Permohonan bagi lokasi tempat duduk di dalam Dewan Undangan Negeri adalah hak setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), kata ADUN Duyong Goh Leong San.
Bekas ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka itu berkata Speaker DUN pula mempunyai kuasa untuk meluluskan atau menolak permohonan tempat duduk semasa DUN bersidang.
“Saya berhak membuat surat permohonan kepada Speaker… terpulang kepada Speaker untuk memutuskan. Ini (memohon lokasi tempat duduk) sebagai suatu hak kepada ADUN, mereka mempunyai hak untuk membuat permohonan.
“Dalam dewan kita patuh kepada Speaker dan apa-apa keputusan Speaker,” katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN Melaka di Seri Negeri di sini semalam.
Pada Isnin lepas, Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhamad mengumumkan Goh adalah ADUN bebas di dalam dewan itu kerana memohon untuk diletakkan di kawasan ADUN bebas iaitu di antara Datuk Ng Choon Koon (BN-Bemban) dan Dr Khalid Kassim (PAS-Bukit Baru).
Dilaporkan sebelum ini Goh digantung keanggotaan dalam DAP selama setahun bermula awal Februari lepas kerana isu disiplin.
Bagaimanapun Ketua Pembangkang DUN Melaka Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) menegaskan Goh tetap mewakili DAP walaupun digantung keanggotaannya dan permohonan untuk Goh diletakkan di kawasan ADUN DAP telah dibuat sebelum Othman membuat keputusan menempatkan Goh di kawasan ADUN bebas.
Ditanya tentang tempat duduk baharunya, Goh berkata beliau amat selesa di tempat duduk itu kerana berada di antara dua kawan baiknya.
Sementara itu ketika membahaskan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob bersempena Persidangan Pertama Penggal Keempat Sidang DUN Melaka Ke-13, Goh berterima kasih kepada Othman kerana meluluskan permohonan beliau.
“Saya percaya di sini saya lebih suka hati dan tidak perlu sentiasa dalam keadaan waspada di mana apa-apa kemungkinan berlaku kepada saya. Saya tidak benci kepada sesiapa, saya hanya benci kepada ketamakan kuasa sahaja. Saya hanya luahkan perasaan saya selama 22 tahun di dalam dewan ini,” katanya.
Terdapat laporan sebelum ini, berlaku perpecahan dalam kalangan anggota DAP di Melaka yang sebahagian menyokong Goh manakala sebahagian lagi menyokong kepimpinan DAP pusat diterajui Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng. – BERNAMA