KAJANG – Padah memandu dalam keadaan mabuk, dua lelaki warga Nepal maut selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan dan terbalik dalam satu kejadian berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kajang di Jalan Reko di sini kira-kira pukul 12.40 malam tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Santa Lal Negi, 39, yang memandu kereta dan penumpangnya, Makar Bahadur Subedi, 28, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard berkata, kereta yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kajang menghala ke arah Reko Central telah hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.
“Kereta tersebut kemudiannya terseret sejauh enam meter pada batu penghadang jalan dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang berhenti di simpang tempat letak kenderaan stesen KTM itu.
“Kedua-kedua mangsa maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala pemandu MPV tersebut tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.