PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengambil keputusan untuk menjual semula lebih 50 helai pakaian yang pernah digayakannya pada majlis-majlis hiburan kepada sesiapa sahaja yang berhajat membelinya.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 37, berkata, penjualan pakaian itu dibuat bagi membolehkan beliau menyusun semula bilik persalinannya dengan memuatkan pakaian koleksi terbaharu.
“Saya sifatkan ini adalah jualan, bukan lelongan sebab itulah saya muat naik di Instagram. Penjualan ini terbuka kepada sesiapa yang berminat. Saya juga mengakui perlu mengasingkan baju yang masih saya pakai dan yang sudah tidak dipakai untuk mengatur semula bilik pakaian saya.
“Kerjaya saya ini (sebagai penyanyi) akan membuatkan pakaian yang dipakai selalu berganti dan saya perlu ruang untuk baju-baju yang baru,” ujarnya kepada mStar Online.
Siti berkata, setakat ini pakaian tersebut dijual secara berperingkat sejak dua minggu lalu yang diiklankan di akaun Instagram @prelovedctdk11.
Tambahnya, kebanyakan baju yang dijual masih berada dalam keadaan baik dan hanya dipakai sekali atau dua pada majlis-majlis tertentu.
“Saya keluarkan pakaian itu seminggu ada dua kali, kadang-kadang ada mencapai 10 helai seminggu saya muat naik di Instagram.
“Baju yang ada kenangan sendiri saya akan simpan, saya hanya menjual baju yang saya pakai sekali atau dua kali sahaja. Ada juga baju kasual yang tidak muat lagi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kesemua baju tersebut juga adalah baju siap pakai, dibeli sendiri serta beberapa baju daripada pereka fesyen yang sering bekerjasama dengannya.
Siti berkata, baju tersebut dijual dengan harga paling berpatutan serendah RM100.
“Alhamdulillah, sejak saya mula buka akaun Instagram untuk penjualan baju-baju ini ramai peminat yang membelinya untuk koleksi mereka,” ujarnya.
Antara jenama pakaian yang dijual ialah daripada pereka fesyen Michael Ong, Rizman Ruzaini dan Bernard Chandran. – mstar