loading...

Mimpi Dikelilingi Kain Putih Sehari Sebelum Tragedi Runtuhan Highland Towers

PUTRAJAYA – Mimpi dikelilingi kain putih sehari sebelum Blok 1 kondominium Highland Towers di Ulu Klang, Selangor, runtuh seolah-olah menjadi petanda tragedi buruk bakal berlaku pada keluarga Umi Rasyidah Khoiruman.

 

Menyorot kembali detik tragis 23 tahun lalu, Umi Rasyidah, 43, yang merupakan pembantu rumah ketika itu berkata pada hari kejadian 11 Disember 1993, beliau baru selesai menyuapkan makanan kepada anaknya Nur Hamidah Nadjib yang baru berusia 18 bulan di tingkat tujuh kondominium mewah tersebut.

 

“Selepas selesai, saya biar anak saya di ruang tamu manakala saya bersiap untuk solat zohor. Semasa nak ke bilik air, waktu itulah saya terdengar bunyi kuat dari luar.

 

“Apa yang saya lihat di luar menakutkan saya. Saya lihat bukit berhampiran mulai runtuh, batu-batu dari atas bukit berhampiran blok kediaman juga bergolek ke tempat parkir kereta.

 

“Dalam keadaan cemas itu, saya terus bergegas mendapatkan anak saya dan terus menghubungi majikan, Susan Tan,” katanya ketika menceritakan pengalamannya kepada pemberita dalam sesi wawancara khas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini, Selasa.

 

highland_towers-umi rasyidah, nur hamidah, susan tan

Nur Hamidah Nadjib (tengah) bersama ibu Umi Rasyidah Khoiruman (kiri) bertemu dengan bekas majikannya Susan Tan pada sidang media mengenai tragedi Highland Towers 23 tahun lalu di Putrajaya, 29 Mac 2016.

 

Katanya pada masa itu blok kediaman yang didiaminya mulai bergegar dan suasana hingar-bingar diselangi jeritan penghuni blok berkenaan.

 

“Saya ambil kunci di ruang tamu dan kain untuk mengikat Hamidah di badan saya dan keluar ke lif untuk menyelamatkan diri.

 

“Malangnya belum sempat keluar dari pintu rumah, bangunan itu terus runtuh menghempap saya sehingga saya tidak sedarkan diri. Nasib baik, tangisan kuat Hamidah menyedarkan saya semula.

 

“Saya menyusukannya hampir tiga jam di bawah timbunan batu tersebut, sebelum saya mengumpul kekuatan menjerit meminta tolong,” katanya.

 

PUTRAJAYA 01 MARCH 2016. Gambar tragedi "Highland Tower" ketika temuramah khas bersama Penguasa Kanan Bomba II, Norizan Saad di Ibupejabat Bomba dan Penyelamat di Putrajaya. NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL.

 

Sementara itu, menceritakan pengalamannya dalam keadaan sebak, Nur Hamidah berkata beliau hanya mengetahui kisah berkenaan ketika berusia tujuh tahun.

 

“Setelah mengetahui kisah itu, saya berusaha mencari maklumat kejadian di laman sosial sehinggalah pada awal Februari lepas, saya diberitahu ada pihak dari Malaysia ingin bertemu saya.

 

“Inilah menjadi titik pertemuan saya dengan pihak yang telah menyelamatkan saya,” katanya yang bersama keluarganya tinggal di Surabaya, Indonesia.

 

Sebelum mengakhiri pertemuan itu, Nur Hamidah melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa tragedi itu.

 

Insiden yang menggemparkan negara pada 11 Disember 1993 itu mengakibatkan 48 orang terkorban. – BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...