loading...

Hentikan Spekulasi Saya Gabenor Bank Negara – Awang Adek

KUALA LUMPUR – Sekalipun akan menamatkan perkhidmatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) pada 7 April ini, bukan bermakna Datuk Dr Awang Adek Hussin bakal mengisi kerusi Gabenor Bank Negara.

 

Sebaliknya, Dr Awang Adek mahu mana-mana pihak tidak mengaitkan namanya atau membuat spekulasi kononnya beliau sebagai calon gabenor bank pusat itu bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang akan bersara bulan depan.

 

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar menghentikan spekulasi berkenaan kerana keputusannya untuk tidak menyambung kontrak perkhidmatan sebagai Duta Besar di Amerika Syarikat adalah atas pilihan sendiri.

 

“Tak adalah…itu (calon Gabenor Bank Negara) orang lain. Banyak lagi orang lain (yang layak).

 

Saya tidak tahu dan saya rasa tak ada sebab orang selalu cakap saya tak minat (menggantikan Zeti).

 

“Kita serah pada orang Malaysia, kita ini (duduk) jauh. Saya tak nak buat spekulasi dan tak perlu pun buat spekulasi mengenai nama saya,” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media di pejabatnya di Washington DC, hari ini.

 

Dr Awang Adek yang berasal dari Bachok, Kelantan pernah memegang jawatan Penolong Gabenor Bank Negara dan disebut-sebut sebagai antara calon paling popular untuk menggantikan Zeti.

 

Pada 2001, Dr Awang Adek melepaskan jawatan di bank pusat itu selepas 16 tahun berkhidmat kerana mahu memberi tumpuan pada bidang politik.

 

Zeti pula bakal melepaskan jawatan Gabenor Bank Negara selepas menerajui bank berkenaan selama lima penggal sejak 2000.

 

Menurut Dr Awang Adek, beliau memilih untuk kembali ke tanah air selepas dua tahun berkhidmat di Amerika Syarikat semata-mata kerana mahu meluangkan masa dengan keluarga.

 

“Saya mahu meluangkan masa dengan keluarga. Saya tak nak sambung,” katanya. Katanya, lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke sini sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Mengenai Nuklear (NSS) pada 31 Mac hingga 1 April ini akan menjadi tugasan terakhirnya sebagai Duta Besar Malaysia ke AS.

Previous
Next Post »
loading...