PETALING JAYA – Pendebat terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melahirkan kekecewaan terhadap sikap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tegas Syed Saddiq, parti Islam itu kini seolah-olah mengabaikan prinsip perjuangannya apabila gagal melihat kontroversi 1MDB sebagai salah satu skandal rasuah.
“Saya sejujurnya amat kecewa dengan PAS terutama sekali dengan Tuan Guru Hadi Awang. Selama ini saya fikirkan PAS merupakan sebuah parti yang tidak akan sekali-kali mengorbankan integritinya sendiri.
“Tapi apabila kita mengharapkan semua pihak bersatu, PAS memutuskan untuk hanya berada di tepi,” katanya menerusi posting terbaharu di Facebook pada Rabu malam.
Tambah Syed Saddiq, perjuangan Islam yang sebenar bukanlah untuk menentang orang bukan Islam namun sebaliknya bagi melawan ketidakadilan.
“Isu 1MDB ini melibatkan korupsi, salah guna kuasa dan pelbagai lagi. Semua ini merupakan isu yang bertentangan dengan prinsip Islam.
“Apa yang PAS sedang lakukan? Islam menentang ketidakadilan. Ini adalah satu ketidakadilan. 1MDB adalah satu ketidakadilan. Di manakah kritikan mengenai penyalahgunaan kuasa?” katanya.
Selain itu Syed Saddiq yang sering mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberi amaran kepada PAS bahawa parti itu akan dihukum oleh rakyat sekiranya gagal meneruskan agenda perjuangan mereka yang sebenar.
“Ahli keluarga saya yang sebelum ini merupakan pro-PAS pun sudah bertekad tidak mengundi untuk PAS lagi.
“Tolonglah. Saya merayu pada PAS dan Presiden PAS, kembalilah pada PAS yang kami kenali dahulu. Berjuanglah menentang ketidakadilan ini sebelum rakyat menentang ketidakadilan kamu,” katanya. – mstar