Penyanyi Haiza menganggap peluang dipilih sebagai penyampai radio di stesen terbaharu Kool.FM sebagai rezeki sekaligus platform mengembangkan lagi kariernya.
Menurutnya Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 36, meskipun sedia maklum bahwa keputusannya itu mungkin menutup peluang lagu-lagunya diputarkan di stesen radio lain namun dia sudah bersedia.
“Jika mereka memandang saya sebagai penyanyi, mereka mainkan lah lagu saya. Tetapi jika pihak berkenaan memandang Media Prima sebagai satu saingan, saya tidak mahu terlalu memikirkan hal itu. Malah saya memang menjangkakan dan sangat bersedia jika lagu saya takkan dimainkan di radio lain selepas ini.
“Lagipun jika dulu saya tidak menjadi deejay pun, lagu saya tidak juga kerap dimainkan. Saya anggap ini sebagai rezeki. Selepas kontrak saya dengan stesen radio lama tamat, saya akhirnya dapat berpindah ke Kuala Lumpur dan datang pula rezeki sebegini. Kalau saya tak ambil peluang ini, entah bila lagi,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Kool FM, bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby, pada Selasa.
Haiza sebelum ini pernah menjadi menjadi penyampai radio Best.FM selama setahun dan menamatkan kontrak pada Februari lalu.
Dalam pada itu, Haiza berkata dia tetap meneruskan kerjaya nyanyian malah aktif memenuhi undangan persembahan pada hujung minggu. Selain itu dia juga dalam perancangan merakamkan single baharu.
“Saya tidak lupakan nyanyian malah saya bersyukur kerana hampir setiap hujung minggu saya ada undangan persembahan. Sa hanya terikat dengan radio tetapi saya masih boleh muncul dalam mana stesen atau program televisyen,” tuturnya yang mengikat kontrak bersama Kool FM selama tiga tahun.
Haiza bergandingan dengan AG mengendalikan segmen pagi iaitu Pagi Di Kool FM (PHD di Kool) bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi. KoolFM merupakan radio keempat dibawah rangakaian radio Media Prima Berhad dan bakal bersiaran mulai 3 Mac ini.
“Saya masih merakak lagi dalam bidang radio ini dan masih banyak yang saya perlu belajar. Saya bersedia menerima apa saja teguran,” katanya.