KUALA LUMPUR – “Tidak ada keperluan untuk PAN berjumpa dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kalau sekadar untuk memohon maaf dan berdamai. Itu tak mungkin akan berlaku,”.
Jawapan tegas itu diterima daripada Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub ketika ditanya MalaysiaGazette tentang kekeruhan hubungan di antara Pas dan PAN yang seperti tidak nampak akan berbaik semula.
“Kami dah dilabel sebagai pengkhianat, murtad, pembelot dan pelbagai lagi yang hakikatnya sehingga menjatuhkan maruah kami hanya kerana kami menyertai parti lain.
“Itu semua sudah cukup pedih dan melukakan hati kami sedangkan kami tidak pernah peduli untuk menjawab balik tohmahan yang dilemparkan kerana itu bukan cara kerja kami dalam PAN,” katanya ketika ditemui di pejabat PAN di Kuala Lumpur pagi tadi.
Ujarnya, biarpun terpaksa menerima segala tohmahan dan cercaan, hubungan ahli PAN dan ahli Pas masih baik dan tidak boleh diputuskan.
“Hubungan silaturahim yang telah terjalin sejak sekian lama mana boleh diputuskan begitu sahaja hanya disebabkan berbeza parti.
“Kami dah macam adik-beradik kerana bukan baharu kenal sehari dua tetapi bertahun-tahun bersama dalam politik.
“Yang membezakan dulu kami tinggal satu rumah tetapi sekarang, kami dah ada rumah sendiri dengan agenda sendiri,” katanya.
Jelasnya lagi, PAN bersikap terbuka jika Pas ada cadangan untuk mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan kemelut di dalam kumpulan gabungan parti pembangkang.
“Tapi nampaknya macam mustahil untuk melihat Pas berbaik dengan kami. Bagi kami mudah, kalau hendak, kami terima tetapi kalau tak hendak, kami pun tidaklah terhegeh-hegeh,” ujarnya.
Bercakap tentang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), kata Salahuddin, dia yakin hanya akan berlaku pertembungan satu lawan satu juga bila tiba masanya nanti.
“Semua orang nampak betapa rapatnya Pas dengan UMNO sejak kebelakangan ini dan tidak mustahil kedua-dua parti itu sedang merancang sesuatu sebagai persediaan menghadapi PRU14,” katanya. – MalaysiaGazette