Kuala Lumpur – Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) tidak keluar Umno seperti mana yang dibuat bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jurucakap GKCM, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, sekiranya mereka turut mengikut jejak langkah Mahathir, mereka tidak lagi menjadi tekanan kepada parti kerana sudah menjadi orang luar.
“Tun (Dr Mahathir) sendiri tidak menggalakkan kami mengikuti langkah beliau meninggalkan Umno.
“Kalau kami keluar Umno, mereka akan kata kami di luar Umno. Mereka boleh kata Umno diterima semua pihak,” katanya dipetik The Malaysian Insider.
Kamarul berkata, GKCM juga akan mengambil pendirian tunggu dan lihat sebelum mengambil langkah selanjutnya.
Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas mengadakan mesyuarat selama 3 jam malam tadi susulan pengumuman Dr Mahathir meninggalkan Umno, petang semalam.
“Kami akan tetap menjadi kumpulan pendesak dalam Umno supaya Umno kembali ke pangkal jalan.
“Masanya belum sesuai untuk kami meninggalkan Umno kerana jika kami berbuat demikian, itulah yang diingini orang-orang yang melakukan kemusnahan dalam parti. Kerosakan pasti akan berlaku,” katanya.
“Kami menyokong langkah yang diambil Dr Mahathir kerana kami sepakat supaya presiden meletak jawatan”.
Kamarul berkata, pihaknya turut mengharapkan lebih ramai ahli Umno di peringkat akar umbi yang mengambil tindakan seperti Dr Mahathir.
“Kami memberi tekanan dari dalam. Kami harap ahli biasa akan sokong Dr Mahathir dan mengambil tindakan sama,” katanya.
Dr Mahathir semalam mengadakan sidang media mengumumkan beliau meninggalkan Umno di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Beliau sebelum ini pernah meninggalkan Umno pada 2008 susulan tidak puas hati dengan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dr Mahathir bagaimanapun menyertai Umno semula pada 2009.
Dr Mahathir berkata, tindakan itu dilakukannya kerana parti itu bukan lagi seperti Umno dahulu, ia sebaliknya hanyalah sebuah parti penyokong Najib.