loading...

‘Ribut Kecil’ Berakhir, Politik Terengganu Kembali Stabil – MB

KUALA TERENGGANU – Semua pihak diminta menghentikan spekulasi berhubung `ribut politik’ di Terengganu baru-baru ini yang dianggap sudah selesai.

 

Menyifatkannya hanya sebagai gelombang kecil, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata tumpuannya kini berpusat kepada agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.

 

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, turut meminta semua pihak menghentikan spekulasi berhubung ketiadaannya dalam negeri bagi tempoh agak lama baru-baru ini.

 

“Saya tiada dalam negeri kerana terbabit dengan pelbagai komitmen termasuk ke Johor untuk Program Beautiful Terengganu selama lima hari dan pelbagai agenda lain di luar Terengganu.

 

“Mungkin ada provokasi untuk cuba menggagalkan usaha pembangunan negeri tetapi kita tak perlu layan sangat isu begini.

 

“Kita perlu terus pandang ke depan kerana keutamaannya adalah rakyat,” katanya selepas majlis makan malam Santai Menteri Besar Terengganu Bersama Media di sini, malam tadi.

 

Ahmad Razif berkata, keadaan politik di Terengganu terkawal dan Barisan Nasional (BN) masih membentuk kerajaan.

 

Situasi politik di Terengganu kelihatan tegang sebelum ini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada Sidang Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac lalu. – BHarian

Previous
Next Post »
loading...