KUALA PILAH – Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, dilucutkan jawatan sebagai Undang Johol ke -14 berkuatkuasa 27 Mac lalu.
Perlucutan jawatan tersebut hasil kerapatan dan permuafakatan hampir kesemua datuk-datuk tertinggi Lembaga Adat dalam Luak Johol dan dibacakan secara rasmi oleh Datuk Jenang Zakaria Mohammad, di hadapan Datuk Mohd Jan, yang dihadiri oleh Buapak Yang Enam, dan Datuk Batin di Balai Undang Luak Johol, di sini, Ahad lalu.
Disebabkan perlucutan itu, mengikut tradisi jawatan tersebut akan diisi oleh Timbalan Undang Luak Johol, Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah.
Pada pengumuman itu, Datuk Jenang turut membaca 13 kesalahan yang telah dilakukan oleh Datuk Mohd Jan dalam adat Luak Johol sepertimana yang termaktub dalam buku ‘Gemuk Berpupuk Segar Bersiram’ yang diterbitkan pada 1996.
Ketua Buapak Yang Enam, Datuk Nenggarang Hasanuddin Ahmad berkata, kesalahan yang dilakukan beliau telah mula dikesan sejak dilantik menjadi Undang Luak Johol pada 13 Mac 2007.
“Kesemua 13 kesalahan beliau itu telah ‘menghina pesaka dan adat istiadat’ di bawah ‘Kesalahan Berat’ merujuk kepada buku ‘Gemuk Berpupuk Segar Bersiram’.
“Banyak perkara yang beliau lakukan membelakangkan Buapak Yang Enam, sebaliknya sistem pentadbirannya dipengaruhi oleh orang-orang di sekelilingnya yang mempunyai kepentingan peribadi serta puak-puak tertentu.
“Kami telah beberapa kali menegur namun, teguran kami tidak diambil peduli. Justeru, kami beberapa kali melakukan mesyuarat dan mesyuarat terakhir dilakukan jam 10.30 pagi tadi (kelmarin).
“Mesyuarat telah mengambil keputusan untuk memecat beliau kerana didapati tidak layak lagi untuk memegang jawatan sebagai Undang Luak Johol Ke 14,” katanya ketika ditemui di rumah Jenang di Kampung Renggoh, malam Ahad lalu.
Terdahulu mengikut kronologi, pada 27 Mac jam 8 pagi, satu rombongan terdiri daripada Datuk Jenang dan Buapak Yang Enam, telah menghadap beliau di Balai Undang Luak Johol bagi membacakan 13 pertuduhan terhadapnya.
Kata Hasanuddin, kehadiran mereka ke Balai Undang Luak Johol meminta agar beliau membela diri, selepas pertuduhan kesalahan dibacakan, namun beliau gagal untuk berbuat demikian.
“Setelah kertas kesalahan selesai dibacakan, kami mengadakan satu mesyuarat khas bagi memutuskan hukuman terhadap beliau, dan sepakat untuk memecatnya.
“Kemudian tepat jam 3 petang , kami datang semula menghadap beliau di Balai Undang Luak Johol untuk menyerahkan surat pemecatan jawatannya berkuat kuasa 27 Mac,”katanya.
Sehubungan itu, pada jam 3.15 petang, Datuk Jenang turut melantik Timbalan Undang Luak Johol, Datuk Muhammad, bagi mengisi kekosongan jawatan Undang Luak Johol yang baharu.
Pengumuman dibuat di hadapan Dato’ Batin, Buapak Yang Enam, Datuk’-Datuk’ Lembaga Adat, Datuk’-Datuk’ Buapak kepada Lembaga serta Juak-Juak dikediamannya di Kampung Tanggai.
Sinar Harian difahamkan, sekitar jam 12 tengah hari semalam, Ketua Buapak, Buapak Yang Enam, Datuk Jenang dan Tok Batin menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap Seremban, bagi menyerahkan satu salinan surat pelucutan bagi pemakluman kepada Tuanku.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri tidak akan mencampuri urusan berkenaan isu yang berlaku di Luak Johol, dan membiarkan Datuk-Datuk Lembaga Adat menyelesaikan permasalahan berlaku di luak berkenaan.
Katanya, pihaknya serahkan kepada luak tersebut dan Datuk Lembaga Adatnya untuk membuat keputusan, kerana ia melibatkan hukum adat di luak berkenaan, tidak melibatkan kerajaan negeri.
Difahamkan sejak pelantikan Undang Luak Johol yang pertama pada 1723 iaitu Undang Pertama- Datuk Sitiawan 1, ini adalah kejadian pertama perlucutan jawatan berlaku.
Usaha mendapatkan reaksi dari Undang Luak Johol yang dilucutkan jawatan setakat ini masih belum berjaya.
Sebelum ini, pelantikan baharu hanya dibuat setelah penyandangnya mangkat. – Sinar