loading...

Cuaca Buruk, Kematian Penumpang Akibatkan Kelewatan MH002

PETALING JAYA – Penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH002 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Heathrow, London berada di dalam pesawat selama lima jam semasa ia berada di landasan di Manchester.

 

Mereka terpaksa berada di dalam pesawat semasa ia tiba di Lapangan Terbang Manchester berikutan kecemasan perubatan disebabkan kematian seorang penumpang.

 

MH002 berlepas dari KLIA pada kira-kira pukul 11.47 malam Ahad lalu dan sepatutnya tiba di Heathrow pada pukul 1 petang Isnin.

 

Bagaimanapun, penerbangan itu dilencongkan ke Lapangan Terbang Manchester berikutan angin kencang dari Ribut Katie.

 

Berikutan kelewatan tiga jam akibat lencongan itu, penumpang terpaksa berada di dalam pesawat lebih lama kerana kecemasan perubatan.

 

Beberapa penumpang menyuarakan kekecewaan mereka di Twitter.

 

Penumpang turut berdepan dengan keadaan tanpa makanan selama berjam-jam semasa ‘terperangkap’ di dalam pesawat itu.

 

MAS dalam satu kenyataan memohon maaf kepada para penumpang di atas kelewatan yang berpanjangan di Lapangan Terbang Manchester.

 

“Demi mengutamakan keselamatan akibat cuaca buruk dan penutupan Lapangan Terbang Heathrow, penerbangan dilencongkan ke Manchester,” menurut syarikat penerbangan itu.

 

“Malangnya dan tanpa sebarang kaitan, kami memohon maaf kerana terdapat seorang penumpang yang menaiki pesawat meninggal dunia semasa penerbangan sebelum ketibaan di UK.”

 

“Keadaan itu menyebabkan kelewatan berpanjangan bagi menunggu ketibaan dan pemeriksaan oleh pihak berkuasa berkaitan di Manchester. Pesawat juga dikuarantinkan mengikut keperluan kawalan selia.”

 

Menurut MAS, disebabkan pematuhan kawal selia berkenaan, ia tidak dapat meneruskan penerbangan ke London walaupun cuaca baik dan pembukaan semula Lapangan Terbang Heathrow.

 

“Selepas pemeriksaan pesawat dilakukan, kru kami telah berdepan dengan had masa tugas mereka bagi menjalankan penerbangan yang selamat untuk kembali ke London,” katanya. – mstar

Previous
Next Post »
loading...