KUALA LUMPUR – Penubuhan pejabat World Bank Group di Malaysia membuktikan negara ini satu daripada lokasi paling digemari untuk organisasi dan perniagaan di rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, kerajaan akan bekerjasama secara rapat dengan World Bank Group untuk berkongsi pengalaman dan membantu mencapai matlamat berkembar untuk menamatkan kemiskinan tegar serta menggalakkan kemakmuran di peringkat rantau dan global.
“Saya yakin dengan kewujudan World Bank Group di Malaysia dengan kepakaran dan pengiktirafan antarabangsanya akan membawa banyak manfaat kepada kita (Malaysia).
“Saya pasti pejabat baharu sudah menjalin kerjasama dengan institusi penyelidik serta pemikir tempatan,” katanya pada majlis pelancaran Hab Pengetahuan dan Penyelidikan World Bank Group di sini, hari ini.
Najib berkata, kehadiran bank itu di negara ini juga menyediakan peluang kepada bakat Malaysia untuk berkhidmat di bank itu.
Mengenai prestasi ekonomi, Najib berkata, ekonomi Malaysia terus berkembang 5.0 peratus tahun lalu disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.