KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki karakter sebagai seorang ‘kaki gaduh’ berdasarkan sejarah silamnya yang bercakaran dengan pemimpin lain.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Dr Mahathir pernah bergaduh dengan bekas Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Razak.
“Perkara ini bukan perkara baru, kita memang dah ramal dah, kerana inilah karakter Tun M.
“Kalau kita tengok, dengan siapa yang dia tidak gaduh. Semua pemimpin dia nak gaduh, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dia gaduh, dengan Anwar dia gaduh,” katanya dalam sidang media di Hotel Seri Pacific, hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menggesa agar Dr Mahathir mengikuti jejak langkah bekas-bekas Presiden Amerika Syarikat yang tidak menggangu tugas dan pentadbiran Presiden Barack Obama.
“Cuba kita lihat di Amerika Syarikat dan sebagainya, selepas Presiden berhenti mereka tidak akan komen apa-apa kepada penganti Presiden.
“Bayangkan, semua bekas Presiden Amerika Syarikat buat komen dengan Presiden yang ada, apa akan jadi dengan Amerika Syarikat?
“Tetapi, tidak seorang pun bekas Presiden yang memberikan komen yang tidak baik. Mereka diam dan mereka tidak kata apa-apa, serahkan pada yang ada dan kita juga mahu begitu,” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya tindakan Dr Mahathir bersama pembangkang menggesa Najib meletakkan jawatan tidak akan menguntungkan UMNO.
“Saya percaya apa yang dilakukan Tun Mahathir ini, bukan untungkan UMNO, tetapi untungkan pembangkang dan saya berharap ahli-ahli UMNO sedar perkara ini. Jadi, kita tidak perlu, jangan peduli apa yang dibuat Dr Mahathir,” katanya. – FMT